Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU had PM gagal: Projek Sama kecam sikap 'tak bertanggungjawab' MP
Diterbitkan:  Mar 3, 2026 7:14 PM
Dikemaskini: 12:13 PM

Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) mengecam “sikap tidak bertanggungjawab” ahli-ahli Parlimen sama ada berkecuali atau tidak hadir di Dewan Rakyat semalam, selepas Rang Undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun gagal melepasi undian belah bahagi.

Undi dua pertiga diperlukan kerana cadangan tersebut melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Semua pindaan pada perlembagaan perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga anggota Dewan Rakyat.

Dalam keadaan sekarang, jumlah dua pertiga ialah 148 undi.

Namun, ia hanya mendapat sokongan 146 ahli Parlimen, manakala 44 berkecuali dan 32 lagi tidak hadir.

Sehubungan itu, pertubuhan masyarakat sivil itu menggesa pengundi di kawasan 76 ahli Parlimen yang gagal mengundi RUU terbabit, termasuk lapan ahli Parlimen di blok kerajaan yang dilaporkan antara yang tidak hadir supaya “menilai secara serius rekod tidak mengundi mereka” pada pilihan raya umum akan datang.

Projek Sama berkata, kegagalan RUU itu menyebabkan Malaysia terlepas beberapa peluang termasuk menyediakan kepimpinan baru dan memastikan perdana menteri mencapai matlamat dasar dengan jelas dalam tempoh jawatan mereka.

NGO itu turut berkata pindaan tersebut akan mengurangkan penumpuan kuasa kepada seorang individu dan sekali gus mengelakkan ketidakstabilan politik akibat perebutan kuasa antara penyandang jawatan yang tiada tarikh persaraan dan pencabar yang tiada jadual penggantian.

Projek Sama juga menegaskan bahawa PAS dan Bersatu di bawah pentadbiran terdahulu yang dipimpin perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PH pada 13 Sept 2021 berhubung transformasi dan kestabilan politik.

MoU tersebut, katanya, menyenaraikan had tempoh jawatan perdana menteri sebagai antara 10 reformasi institusi, dan tindakan pembangkang berkecuali dalam pengundian RUU itu disifatkan sebagai “perbuatan oportunis dan kepartian sempit yang memalukan”.

Ia turut menyatakan ketidakhadiran lapan ahli Parlimen penyokong kerajaan bukanlah “pembangkangan berprinsip” dan wajar dikenakan tindakan disiplin oleh ketua whip kerajaan, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

“Kegagalan menegakkan disiplin akan menggalakkan lebih banyak tindakan tidak bertanggungjawab oleh ahli Parlimen yang mensabotaj agenda dasar utama kerajaan, sama ada untuk memalukan kerajaan, menuntut habuan peribadi atau sekadar gagal melaksanakan tugas,” katanya.

Identiti penuh ahli Parlimen yang hadir atau tidak hadir ketika undian blok semalam hanya akan diketahui selepas Hansard Parlimen diterbitkan, kecuali mereka yang telah tampil memberi penjelasan secara terbuka.

Pagi tadi, Ahli Parlimen Libaran dari BN, Suhaimi Nasir memberitahu Malaysiakini dia terlepas undian kerana sakit, manakala Ahli Parlimen Tapah M Saravanan berkata dia tidak dapat hadir ke Parlimen kerana urusan penting di Pangkor.

Ahli Parlimen Bebas Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pula dilaporkan berkata dia sengaja tidak menyertai undian itu kerana mahu Anwar Ibrahim kekal lebih lama sebagai perdana menteri.

Ahli Parlimen Julau dari Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng berkata dia juga terlepas undian kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika dalam perjalanan pulang dari satu urusan luar.

Sambil menggesa kerajaan membentangkan semula RUU pindaan Perlembagaan itu pada sesi Parlimen akan datang sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, Projek Sama turut mencadangkan kempen bagi melibatkan pendapat rakyat.

“Had tempoh bukan soal individu – ia soal melindungi negara daripada kuasa tanpa kawalan.

“Kami menyeru semua ahli Parlimen supaya mengatasi politik kepartian dan memilih prinsip. Sejarah akan mengingati siapa yang mempertahankan reformasi,” katanya.

Dalam sidang media hari ini, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata ahli Parlimen yang gagal hadir atau mengundi RUU tersebut perlu memberi penjelasan kepada kepimpinan parti masing-masing serta pengundi mereka.

Dia menegaskan semua ahli Parlimen PH hadir menyokong usul berkenaan, dan memaklumkan mereka yang tidak hadir termasuk ahli Parlimen dari BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), PBM serta dua ahli Parlimen PAS.

“Adakah ini bermakna mereka tidak menyokong usaha mengehadkan kuasa dan tempoh jawatan perdana menteri?

“Ini bukan isu parti. Ini isu tadbir urus yang baik,” katanya seperti dipetik Malay Mail.

Fahmi turut memaklumkan bahawa Fadillah sebelum ini telah mengarahkan semua ahli Parlimen kerajaan supaya hadir semasa bacaan kali kedua usul berkenaan, dan Ahli Parlimen Petra Jaya itu dilihat “kecewa” dengan ketidakhadiran beberapa penyokong kerajaan.

Tambahnya, RUU itu boleh dibentangkan semula pada sesi Parlimen akan datang tanpa menjejaskan kestabilan kerajaan kerana usaha mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri berasaskan prinsip akauntabiliti yang sepatutnya disokong semua ahli Parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS