Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perang Asia Barat uji keupayaan Malaysia kekalkan subsidi RON95

Keupayaan Malaysia mengekalkan susbidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter mungkin bakal diuji tidak lama lagi, apabila pasaran minyak global terus bertindak balas terhadap krisis terkini di Asia Barat.

Pakar memberi amaran bahawa serangan berterusan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran, serta serangan balas Iran, berpotensi mendorong harga minyak mentah naik susulan kemungkinan gangguan bekalan yang berpanjangan.

Menurut penganalisis Nazery Khalid, pasaran minyak telah bertindak balas sejak Israel dan AS memulakan serangan terhadap Iran pada Sabtu lalu, di mana harga minyak mentah meningkat sebanyak enam peratus kepada AS$71 setong.

“Adalah sukar untuk membayangkan kerajaan mampu mengekalkan harga RON95 pada tahap semasa untuk tempoh lama dan terus memberikan subsidi apabila harga minyak melonjak naik.

“Beberapa penganalisis minyak antarabangsa berwibawa seperti JP Morgan meramalkan harga minyak boleh melepasi AS$100 setong dalam beberapa hari akan datang, malah JP Morgan menjangkakan harga minyak mencecah AS$120 setong.

“Ini pastinya akan memberi kesan domino yang teruk kepada ekonomi kita yang bergantung kepada minyak,” katanya.

Nazrey merupakan pakar dalam ekonomi maritim serta industri minyak dan gas luar pesisir.

Setakat berita ini ditulis, harga minyak mentah berada sekitar US$77 setiap tong (lebih kurang RM301).

Selepas serangan AS dan Israel hujung minggu lalu, Iran secara menutup Selat Hormuz, dan mengancam untuk menembak mana-mana kapal yang cuba melaluinya. Selat Hormuz merupakan laluan penting di mana kira-kira 20 peratus daripada bekalan minyak dunia melalui selat itu setiap hari.

Selat tersebut merupakan satu-satunya laluan laut dari Teluk Parsi ke laut terbuka dan berperanan sebagai laluan penting bagi perdagangan minyak global.

Sejak Sept tahun lalu, kerajaan melaksanakan program subsidi bersasar dikenali sebagai Budi95, di mana harga RON95 diapungkan mengikut harga pasaran, namun rakyat yang memiliki lesen memandu sah diberikan kuota 300 liter sebulan untuk membeli bahan api itu pada harga RM1.99 seliter.

Pada kadar pasaran hari ini, iaitu RM2.59 seliter, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM0.60 untuk setiap liter yang dibeli di bawah Budi95.

Kesan buruk pada ekonomi

Nazery berkata, kenaikan harga minyak dijangka akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara yang sangat bergantung kepada minyak.

“Kira-kira satu pertiga daripada jumlah bekalan tenaga utama kita berasaskan bahan api fosil yang merupakan komponen penting dalam penggunaan tenaga negara.

“Sebagai pengimport bersih produk petroleum, dengan import menyumbang satu perempat daripada jumlah penggunaan minyak, harga di pam tempatan dan keseluruhan ekonomi sangat sensitif terhadap turun naik pasaran minyak global dan akan dipengaruhi teruk oleh konflik semasa.

“Harga minyak yang lebih tinggi akan menyebabkan kenaikan harga barangan, komoditi dan perkhidmatan lain, seterusnya melambatkan penggunaan dan aktiviti perniagaan atau industri, yang akhirnya menambah tekanan inflasi ke atas ekonomi,” kata ahli akademik itu.

Sementara itu, ahli ekonomi Ahamed Kameel Mydin Meera menekankan bahawa kenaikan harga minyak dijangka akan turut meningkatkan hasil minyak Petronas.

Dia berpendapat, peningkatan hasil yang ketara ini akan membolehkan Malaysia terus memberi subsidi ke atas RON95.

“…sama ada harga runcit RON95 kekal atau tidak, bergantung kepada kesediaan kerajaan untuk menanggung tambahan subsidi yang diperlukan.

“Pada pendapat saya, lebih baik mengekalkan harga stabil kerana peningkatan hasil akan signifikan.

“Jika perang berlanjutan lebih lama dan merebak ke negara lain, banyak pemboleh ubah akan berubah — permintaan global, pembuatan, pekerjaan, logistik, kewangan dan lain-lain.

“Keadaan akan menjadi sangat kompleks jika itu berlaku,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS