Pasukan tentera Israel dan Amerika Syarikat (AS) berterusan membedil pelbagai sasaran di seluruh Iran pada Selasa, sehingga mencetuskan serangan balas Iran di sekitar wilayah Teluk ketika konflik merebak ke Lubnan, selain menggegarkan pasaran global dan melonjakkan harga minyak dengan ketara.
Memasuki hari keempat peperangan, Presiden AS Donald Trump memberitahu pemberita bahawa tentera AS telah menyerang "pelbagai sasaran tentera laut dan udara Iran," sambil menyatakan bahawa "hampir segalanya telah dilumpuhkan."
Trump turut cuba mewajarkan serangan ke atas Iran itu dengan menyatakan bahawa dia mengarahkan kempen tersebut kerana mempunyai "firasat" bahawa Iran akan menyerang selepas rundingan mengenai program nuklearnya terhenti.

Sebagai tindak balas terhadap serangan itu, dron Iran menyerang kedutaan AS di Arab Saudi selepas sebelum ini menyerang misi diplomatik itu di Kuwait.
Reuters melaporkan Washington telah menutup kedua-dua kedutaan berkenaan, termasuk kedutaannya di Lubnan, selain mengarahkan kakitangan kerajaan bukan kecemasan dan keluarga mereka untuk meninggalkan sebahagian besar wilayah Asia Barat.
Kepulan asap kelihatan menjulang berhampiran konsulat AS di Dubai pada Selasa dan Setiausaha Negara Marco Rubio memberitahu pemberita bahawa sebuah kawasan tempat letak kereta terkena serangan, namun semua kakitangan dilaporkan selamat.
‘Kebanyakan orang yang kami fikirkan sudah mati’
Satu sumber yang mempunyai maklumat mengenai pelan perang Israel memberitahu Reuters bahawa kempen itu dirancang untuk berlangsung selama dua minggu dan ia sedang mencapai senarai sasarannya lebih cepat daripada jangkaan, dengan kejayaan awal dalam membunuh pemimpin Iran — termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan awal pada Sabtu.
Trump pada Isnin berkata unjuran awal AS adalah untuk operasi itu berlangsung selama empat hingga lima minggu.

Apabila ditanya mengenai siapa yang dia mahu terajui Iran, Trump memberikan penilaian yang tumpul: "Kebanyakan orang yang kami fikirkan sudah mati."
Ibu negara Iran, Tehran berulang kali digegarkan oleh letupan sepanjang hari, ketika Israel menyerang stesen penyiar rasmi IRIB dan kawasan di sekitar lapangan terbang Mehrabad di bandar itu. Tentera Israel juga menyatakan bahawa mereka telah menyerang tapak pembangunan nuklear bawah tanah Minzadehei di Tehran.
Bangunan Majlis Pakar Iran turut ranap
Bangunan yang menempatkan Majlis Pakar Iran, yang ditugaskan untuk memilih pemimpin bagi menggantikan Khamenei, turut ranap akibat serangan udara di bandar Qom, menurut agensi berita Iran. Israel berkata pihaknya masih menyemak hasil serangan tersebut.
Tidak dapat dipastikan dengan segera jika ada individu yang maut dalam serbuan itu, namun Trump mendakwa beberapa pemimpin kanan Iran telah terkorban pada Selasa.
Reuters juga melaporkan ketika rakyat Iran melarikan diri dari bandar-bandar besar, ibu negara itu kini berubah menjadi "bandar hantu".
“Berapa lama perkara ini akan berterusan? Di mana tempat perlindungan? Di mana kerajaan?” soal Bijan, 32, seorang kakitangan bank, kepada agensi berita itu melalui telefon dari Tehran.

“Setiap malam saya dan isteri bersembunyi di dalam bilik bawah tanah. Seluruh bandar kosong. Asap dan darah ada di mana-mana.”
Firuzeh Seraj berkata dia takut untuk membawa anak perempuannya yang berusia 10 tahun untuk rawatan dialisis selepas sebuah hospital di ibu negara itu turut diserang.
"Dunia, adakah anda melihatnya? Mereka membunuh kami. Dengarlah suara kami," katanya dalam tangisan dari Tehran.
Pasaran saham merudum, harga minyak melambung
Pasaran saham global merosot ketika gangguan bekalan tenaga Asia Barat mengancam untuk menyemarakkan semula inflasi.
Harga minyak mentah meningkat sebanyak 5 peratus manakala harga borong gas asli Eropah melonjak sebanyak 40 peratus.
Harga runcit petrol di AS purata AS$3.11 segelen, menurut Persatuan Automobil Amerika — satu petanda ketara mengenai kenaikan harga pengguna yang disebut oleh pengundi sebagai kebimbangan utama menjelang pilihan raya pertengahan penggal November ini.
Indeks saham Wall Street merosot dalam dagangan tengah hari, menyusuli kerugian lebih 3 peratus dalam indeks Eropah dan Asia.
Iran menyifatkan peperangan itu sebagai serangan tanpa provokasi.

"Kami telah memberitahu musuh bahawa jika kamu cuba mencederakan pusat utama kami, kami akan menyerang semua pusat ekonomi di rantau ini," kata penasihat Pengawal Revolusi, Ebrahim Jabari dalam media Iran.
Meredah Selat Hormuz
Iran telah melepaskan peluru berpandu dan dron ke negara-negara Arab jiran yang menempatkan pangkalan AS, serta menyekat perkapalan melalui Selat Hormuz, di mana satu perlima daripada bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia melalui pesisir pantainya.
Qatar, salah satu pengeksport utama LNG dunia, telah menghentikan pengeluaran, manakala kapal-kapal tangki telah melabuhkan sauh di Teluk daripada terus meredah selat tersebut.
Kos menyewa kapal tangki untuk menghantar minyak ke Asia meningkat hampir empat kali ganda sejak minggu lalu kepada rekod tertinggi melepasi AS$400,000 sehari.
Trump berkata kerajaan AS akan menyediakan insurans kepada kapal tangki di rantau itu dan Tentera Laut akan mengiringi mereka melalui selat jika perlu.
Pengangkutan udara global juga dilaporkan dalam keadaan huru-hara, dengan hab udara Asia Barat yang menghubungkan Asia, Eropah dan Afrika ditutup.

Di Lubnan, sekutu Iran, Hezbollah melepaskan tembakan ke arah Israel, yang dibalas dengan serangan udara dan pengukuhan kedudukan darat di selatan. Asap hitam tebal menyelimuti Beirut ketika bunyi letupan bergema. Pihak berkuasa menyebut berpuluh-puluh orang terbunuh.
Angka kematian terus meningkat
Iran menyatakan jumlah kematian akibat serangan itu telah mencecah 787 orang. Ini termasuk 165 kanak-kanak perempuan yang terbunuh pada hari pertama perang apabila sekolah mereka dibom, angka kematian tertinggi di antara beberapa sasaran awam yang dilaporkan telah terkena serangan.
Media kerajaan menunjukkan ratusan orang memenuhi jalan-jalan di bandar selatan Minab, di mana keranda kecil kanak-kanak perempuan tersebut, yang dibalut dengan bendera Iran, dibawa menggunakan trak dan dijulang oleh orang ramai menuju ke tapak perkuburan.

Pejabat hak asasi manusia PBB menuntut siasatan dilakukan terhadap serangan itu, yang disifatkan oleh jurucakapnya sebagai "benar-benar mengerikan".
