Pelantikan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu tidak bermakna beliau secara automatik akan diangkat sebagai calon perdana menteri bagi gabungan itu.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa pelantikan jawatan tertinggi gabungan tersebut dan penentuan calon nakhoda kerajaan bagi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) adalah dua perkara yang berbeza.
Menurut bekas perdana menteri itu, setakat ini komponen PN belum memulakan sebarang perbincangan rasmi mengenai calon perdana menteri.

"Ini lantikan sebagai pengerusi PN, bukan calon perdana menteri. Saya memetik kenyataan (Timbalan Presiden PAS) Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyebut bahawa ini (pelantikan) adalah untuk pengerusi PN.
"Kalau hendak bercakap soal calon perdana menteri, itu isu lain. Perkara itu tidak dibincangkan lagi," katanya dalam satu wawancara dengan media terpilih di Ibu Pejabat Bersatu baru-baru ini.
Muhyiddin turut mendedahkan bahawa pendirian untuk tidak terburu-buru menetapkan calon PM adalah konsisten dengan kehendak kepimpinan PAS sebelum ini.
"Apabila timbul isu mengenainya, termasuk ketika saya pernah dicalonkan, pimpinan PAS menyatakan mereka belum mahu membincangkan soal itu lagi. Jadi, saya fikir pendirian itu masih kekal," tambahnya.
Pada 22 Februari lalu, Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN memutuskan Ahmad Samsuri, yang juga menteri besar Terengganu, untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi PN. Dia mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Muhyiddin selepas peletakan jawatannya pada 30 Disember 2025.

Mengulas lanjut mengenai kriteria jawatan pengerusi, Muhyiddin berpandangan jawatan tersebut sewajarnya diisi oleh pemimpin yang lebih senior.
Dia mengakui pendirian awal Bersatu adalah mahukan jawatan pengerusi diterajui oleh presiden parti, namun pihaknya menghormati keputusan untuk mengangkat Ahmad Samsuri.
"Pandangan parti sewajarnya tempat itu diisi presiden, tetapi perlembagaan PN tiada syarat itu.
“Ia cuma menyatakan kalau hendak jadi pengerusi PN kena lebih senior, takkan junior," katanya lagi.
