Kumpulan batin dan masyarakat Orang Asli Pahang menegaskan bahawa tanah adat merupakan realiti sejarah dan hak undang-undang yang sah, meskipun kawasan tersebut belum diwartakan oleh kerajaan negeri.
Dalam kenyataan bersama 50 organisasi, mereka justeru memohon Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempertimbang untuk memperbetulkan titah bahawa tiada istilah tanah adat atau warisan tanpa warta sah di negeri itu.
“Tanah yang kami duduki ialah tanah turun-temurun dan warisan adat. Ia bukan tanah kosong, bukan tanah baru diduduki dan bukan tanah tuntutan baharu,” kata kenyataan itu.
Kumpulan yang menyokong kenyataan itu antaranya Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia, Jaringan Kampung Orang Asli Pahang, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Parti Sosialis Malaysia.
Kumpulan itu berhujah bahawa mahkamah, dalam kes Sagong Tasi dan Adong Kuwau, mengiktiraf hak adat (native title) berdasarkan pendudukan tradisi tanpa bergantung kepada pewartaan.
Mereka turut menyatakan bahawa ketiadaan warta mencerminkan kegagalan pentadbiran kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), bukannya bukti ketiadaan hak.
“Kewujudan tanah adat adalah fakta sejarah dan realiti kehidupan komuniti kami. Ia tidak bermula dengan pewartaan, dan ia juga tidak terhapus hanya kerana ketiadaan warta,” tegas mereka.
Kes Adong Kuwau merujuk kepada isu masyarakat Orang Asli suku Temuan di Johor pada 1997 yang menuntut pampasan selepas tanah adat mereka diambil untuk projek empangan air yang menyaksikan Mahkamah Tinggi (dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan/Persekutuan) mengiktiraf hak adat Orang Asli ke atas wilayah tradisi mereka.
Kes Kes Sagong Tasi pada 2002 pula melibatkan 27 keluarga Orang Asli Temuan di Kampung Bukit Tampoi, Selangor, diusir secara paksa bagi projek pembinaan lebuh raya Nilai-KLIA. Mereka hanya diberi pampasan untuk tanaman atau rumah, bukan tanah.
Mahkamah Tinggi kemudiannya memutuskan kerajaan melanggar hak perlembagaan plaintif dan hakim mengiktiraf bahawa Orang Asli adalah pemilik tanah adat (proprietary interest) yang dilindungi bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Pada 21 Feb lalu, media melaporkan Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa tiada istilah tanah adat atau tanah warisan yang memberi hak kepada mana-mana pihak untuk menduduki tanah secara bebas di negeri ini.
Titah baginda, hak menduduki tanah oleh masyarakat Orang Asli hanya wujud melalui pewartaan sah oleh kerajaan sebagaimana diperuntukkan bawah Seksyen 6 dan Seksyen 7 Akta Orang Asli 1954.
Baginda menegaskan, mana-mana pendudukan, penerokaan atau penguasaan tanah tanpa kebenaran bertulis adalah kesalahan serius di sisi undang-undang.
Titah baginda lagi, tanah yang diwartakan sebagai kawasan pendudukan Orang Asli di negeri ini melibatkan 27 kampung seluas 7,706 hektar.
Baginda menjelaskan, sebanyak 83 kampung Orang Asli dalam proses ukur dan 18 kampung belum melalui permohonan warta melibatkan keluasan 24,532 hektar manakala tanah yang masih belum diukur melibatkan 61 kampung seluas 16,253 hektar.
“Saya meletakkan sepenuh harapan kepada pihak kerajaan negeri, Persekutuan dan Jakoa agar tidak sama sekali mengabaikan kebajikan serta pembangunan masyarakat Orang Asli, sebaliknya melaksanakan perlindungan secara holistik, berperingkat tanpa henti di bawah peruntukan undang-undang.
“Namun jangan sesekali menjadikan proses ini sebagai alasan untuk menceroboh, menguasai, membuka ladang haram dan mengeksploitasi tanah negeri,” titah baginda.
‘Penceroboh’ di tanah sendiri
Walaupun menghargai titah Al-Sultan Abdullah bahawa Orang Asli di Pahang akan terus diberi keutamaan dan perhatian, kumpulan itu menzahirkan rasa terkilan kerana kenyataan penafian tersebut dianggap mengguris hati dan boleh menyebabkan mereka dilabel sebagai “penceroboh” di tanah sendiri.
"Kenyataan bahawa tiada istilah 'tanah adat' mungkin berpunca daripada kegagalan untuk mengiktiraf proses pemetaan tanah dan wilyaha adat yang telah dibangunkan berdasarkan pengetahuan komuniti, sempadan tradisi serta sejarah pendudukan terun-temurun.
"Pelan tanah dan wilayah adat yang disediakan berasaskan pengetahuan komuniti ini sering kali tidak diambil kira atau tidak diterjemahkan kepada pewartaan kekal oleh pihak berkuasa walaupun mahkamah sendiri dalam kes-kes yang dibawa Orang Asli menerima peta komuniti yang disediakan sendiri oleh Orang Asli.
"Keadaan inilah yang menyebabkan masyarakat Orang Asli berulang-kali dilabel sebagai 'penceroboh' atau dianggap menduduki tanah secara haram, walhal komuniti Orang Asli sejak sekian lama menjaga, memelihara dan mempertahankan ekosistem, hutan serta sumber semula jadi di wilayah tersebut," kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu turut mengemukakan tuntutan termasuk memohon Al-Sultan Abdullah mempertimbangkan untuk membetulkan kenyataan yang menafikan kewujudan tanah adat bagi memastikan hak mereka diiktiraf secara moral dan undang-undang.
Mereka turut memohon perkenan sultan untuk mengadakan dialog rasmi bersama batin, CSO, serta pakar undang-undang bagi menjelaskan kedudukan tanah adat dalam sistem perundangan.
"Kami menghormati institusi diraja sebagai payung negeri. Namun, penghormatan tidak boleh ditafsir sebagai persetujuan terhadap penafian hak yang diiktiraf oleh undang-undang.
"Kami akan terus mempertahankan tanah adat kami secara aman, berlandaskan undang-undang dan prinsip keadilan, demi maruah masyarakat asal di Malaysia serta generasi akan datang," tegas mereka lagi.
