Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa penubuhan sebuah parti politik baharu yang didakwa menggunakan nama "Keluarga Malaysia" tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).
Ismail Sabri, yang juga pengerusi YKM, berkata dia hanya mengetahui perkara tersebut baru-baru ini dan sedang menunggu pengesahan rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebelum merancang langkah seterusnya.
"Ini baru saya dengar ni, ada parti Keluarga Malaysia. Kalau betul, ia tiada kaitan dengan Yayasan Keluarga Malaysia.
"Kita tunggu pengumuman daripada ROS. Saya belum semak lagi, jika perlu kami sendiri akan rujuk pihak ROS," katanya ketika kepada media selepas majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur, semalam.

Tedahulu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin memecah kebisuan mengenai perancangan politik seterusnya selepas dipecat sebagai timbalan presiden Bersatu dan disingkirkan daripada parti itu.
Ahli Parlimen Larut itu mengesahkan wujud perbincangan berhubung kemungkinan mengambil alih satu entiti politik yang dilaporkan dinamakan Parti Keluarga Malaysia, dengan menyatakan rundingan tersebut masih pada peringkat teknikal.
“Berbincang dengan mereka bagaimana kalau kami ambil-alih parti tersebut. Ada perbincangan,” katanya ketika diminta mengesahkan laporan media yang memetik pengasas Parti Keluarga Malaysia, Khairi Jaya.
Kenyataan itu sekali gus menimbulkan perhatian memandangkan jenama "Keluarga Malaysia" sangat sinonim dengan pentadbiran Ismail Sabri sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri mengakui penggunaan nama yang sama boleh mencetuskan kekeliruan memandangkan YKM merupakan sebuah entiti kebajikan yang sudah lama dikenali masyarakat.
Dia turut meluahkan kebimbangan sekiranya kekeliruan identiti itu menjejaskan keyakinan penyumbang dana, terutamanya bagi bantuan kepada anak-anak yatim yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
"Takut apabila terkeliru, ramai orang tak berani (menyumbang). Takut ada 'scammer' dan sebagainya menggunakan nama yang sama," jelasnya.
Bagi melindungi kredibiliti yayasan tersebut, Ismail Sabri memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mempatenkan nama YKM melalui kerjasama dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Meskipun mengakui setakat ini nama yayasan itu belum didaftarkan sebagai tanda dagang (trademark), dia berpendapat penggunaan nama yang sama oleh pihak lain akan hanya menyusahkan operasi mereka.
"Memang kita dah lama gunakan nama Yayasan Keluarga Malaysia ini.
“Selepas ini, saya percaya tindakan mempatenkan nama itu adalah perkara yang sepatutnya dilakukan supaya tidak ada lagi pihak yang sewenang-wenangnya menggunakan nama yang sama," katanya.
Setakat ini, pihak ROS masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung status pendaftaran parti yang diumumkan oleh Hamzah itu.
