Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Macron selar AS, Israel: Serangan Iran langgar undang-undang antarabangsa
Diterbitkan:  Mar 4, 2026 11:53 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

Presiden Perancis Emmanuel Macron menyifatkan serangan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran sebagai tindakan yang "di luar undang-undang antarabangsa."

AFP melaporkan ketika berucap kepada rakyat Perancis melalui siaran nasional, Macron berkata walaupun Iran "memikul tanggungjawab utama ke atas situasi ini," kerajaannya tidak bersetuju dengan serangan yang dilancarkan oleh AS dan Israel terhadap rejim di Tehran itu.

"AS dan Israel telah memutuskan untuk melancarkan operasi ketenteraan yang dijalankan di luar undang-undang antarabangsa, yang mana tidak boleh kami restui," kata Macron menurut laporan Le Figaro.

Bagaimanapun, Macron berkata "sejarah tidak pernah meratapi algojo yang menyeksa rakyat sendiri" dan mereka yang terkorban dalam rejim Islami di Tehran itu tidak akan dirindui. 

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada ribuan orang awam Iran yang tidak bersalah yang terbunuh dalam protes anti-kerajaan baru-baru ini.

Presiden Perancis itu turut memberi amaran terhadap pencerobohan darat Israel ke atas Lubnan, dengan menyifatkan tindakan tersebut sebagai "puncak ketegangan yang berbahaya dan kesilapan strategik."

Selain itu, Macron sekali lagi menegaskan bahawa adalah satu "kesilapan besar" bagi Hezbollah kerana memulakan tindakan melanggar gencatan senjata 2024 pada Ahad lalu dengan melancarkan roket ke arah Israel dari Lubnan.

Kecaman daripada Macron ini nyata berbeza dengan rakan sejawatnya di Berlin, Canselor Jerman Friedrich Merz, yang menyatakan pada Isnin bahawa sekarang bukanlah masanya untuk "menceramah rakan kongsi dan sekutu kami."

Sewaktu pertemuan di Pejabat Oval pada Selasa bersama Presiden Trump, Canselor Merz menambah bahawa Jerman berada dalam "pendirian yang sama untuk menyingkirkan rejim kejam di Tehran."

Walau bagaimanapun, komen daripada Macron tidaklah sekeras penentangan yang disuarakan oleh Madrid, dengan Perdana Menteri Sosialis Pedro Sánchez menyatakan kerajaannya "menolak" serangan pimpinan Amerika itu dan enggan membenarkan tentera AS menggunakan pangkalan tentera Sepanyol untuk menyerang sasaran di Iran.

Sebagai tindak balas, Presiden Trump mengancam untuk mengenakan embargo terhadap Sepanyol, dan menyatakan pada Selasa bahawa dia telah mengarahkan ketua perbendaharaan negara itu untuk meneliti langkah "memutuskan semua perdagangan" dengan negara Eropah tersebut.

Di sebalik pendirian retoriknya, Macron mengumumkan Perancis akan menghantar kapal pengangkut pesawat utamanya ke Laut Mediterranean sebagai tindak balas terhadap konflik yang semakin meluas di Asia Barat.

Katanya, Perancis telah meningkatkan kesiapsiagaan ketenteraannya dengan menghantar jet pejuang ke Cyprus dan sebuah kapal pengangkut pesawat ke Mediterranean pada Selasa.

"Saya telah mengarahkan kapal pengangkut pesawat Charles de Gaulle, aset udaranya serta pengiring frigat untuk menuju ke Mediterranean," katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, sehari selepas memberi amaran mengenai risiko konflik merebak ke sempadan Eropah.

Kapal pengangkut pesawat itu ditarik keluar daripada penugasan di Atlantik Utara untuk menuju ke timur Mediterranean.

Ia sebelum ini singgah di pelabuhan Malmo, Sweden, minggu lalu.

Pemimpin Perancis itu turut menyeru pembentukan sebuah gabungan antarabangsa bagi melindungi laluan perkapalan daripada pencerobohan Iran.

"Kami mengambil inisiatif untuk membina sebuah gabungan bagi menggembleng sumber, termasuk kekuatan ketenteraan, untuk memulakan semula dan menjamin keselamatan trafik di laluan air ini yang sangat penting kepada ekonomi global," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS