Seorang bekas pembantu Rafizi Ramli, James Chai, meluahkan rasa kecewanya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan notis untuk meminta dia membantu siasatan terhadap dakwaan yang berkaitan dengan Ahli Parlimen Pandan itu.
Menurut Chai Jin Shern, dia akan mengeluarkan kenyataan mengenai isu tersebut tidak lama lagi.
"Saya agak bosan apabila sumber negara digunakan dengan cara ini," kata Chai ketika dihubungi hari ini.
Chai sedang cuba dikesan oleh agensi antirasuah yang sedang menjalankan siasatan terkait dakwaan Rafizi mempercepatkan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan gergasi semikonduktor British, Arm Holdings.
Awal hari ini, SPRM mengeluarkan kenyataan yang menyatakan mereka mahu berhubung dengan Chai - atau juga dikenali sebagai James Chai - dan meminta bantuan orang ramai untuk mencarinya.
Tidak lama selepas itu, dalam sidang akhbar, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata Chai sedang dicari sebagai orang yang dikehendaki dan bukannya saksi, lapor New Straits Times.
Chai adalah seorang daripada beberapa bijak pandai yang dilantik Rafizi bagi membantunya di Kementerian Ekonomi.
Lelaki terbabit merupakan graduan Universiti Oxford dalam bidang undang-undang dan teknologi, selain turut dikenali sebagai seorang penulis.
