Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN l ‘Bukan undi tidak percaya, tapi imej buruk buat kerajaan Anwar’

UlASAN l Peristiwa ini amat mengecewakan rakyat Malaysia.

Kita menyangka bahawa Ahli-ahli Parlimen akan menyokong detik penting dan bersejarah ini bagi menjayakan inisiatif reformasi yang sekian lama dinantikan, iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 yang merentasi perbezaan politik.

Penggubal undang-undang negara tidak seharusnya merungut tentang kemajuan reformasi yang dikatakan perlahan; namun, apabila peluang untuk membawa perubahan muncul, ramai yang memilih untuk berkecuali dan lebih memburukkan keadaan, tidak hadir ke Dewan Rakyat.

Hal ini merupakan satu peluang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menetapkan had tempoh 10 tahun bagi mana-mana individu untuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Ketidakhadiran lapan Ahli Parlimen kerajaan, ditambah pula dengan keengganan sebahagian Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong pindaan tersebut, amat mengecewakan.

Tidak bersetuju

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, bekas pemimpin Bersatu yang kini menyokong kerajaan berkata, dia memutuskan untuk tidak menghadiri persidangan tersebut kerana tidak bersetuju dengan undang-undang baharu itu.

Larry Sng, Ahli Parlimen Julau, Sarawak berkata, dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas; suatu alasan yang sukar untuk diterima.

“Saya dalam perjalanan kembali ke Parlimen selepas mempunyai urusan di tempat lain, tetapi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,” kata Sng seperti yang dilaporkan.

Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan pula berkata bahawa dia menghadiri satu majlis keagamaan.

Selain itu, Ahli Parlimen yang tidak hadir termasuklah Hishammuddin Hussein (Sembrong), Henry Sum Agong (Lawas), Suhaimi Nasir (Libaran), Riduan Rubin (Tenom), dan Jeffrey Kitingan (Keningau).

Dalam undian secara blok, sebanyak 146 Ahli Parlimen menyokong RUU tersebut, 44 berkecuali, dan 32 tidak hadir. RUU tersebut memerlukan sekurang-kurangnya 148 undi untuk mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan bagi pindaan perlembagaan.

Tidak ada sesiapa menentang RUU itu

Semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan daripada DAP dan PKR hadir serta mengundi untuk menyokong RUU tersebut.

Walau bagaimanapun, kegagalan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk meluluskan RUU itu bukanlah satu undi tidak percaya. Tidak ada sesiapa yang mengundi untuk menentang RUU tersebut.

Namun, tanpa ragu-ragu, perkara ini memberikan imej yang tidak baik dan keadaan yang sangat mengecewakan. Sepatutnya terdapat penyelarasan yang lebih rapi.

Pihak whip dan penyelaras kerajaan tidak seharusnya menganggap mudah bahawa Ahli Parlimen kerajaan akan hadir, sedangkan hal ini merupakan perkara penting mengenai pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Pengundi Malaysia tidak akan menerima alasan remeh yang diberikan oleh Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir. Malah, sesetengah daripada mereka langsung tidak berusaha untuk memberikan sebarang penjelasan.

Mereka ponteng

Kita bukan sahaja bercakap tentang kegagalan memperoleh kelulusan disebabkan oleh kekurangan dua undi, tetapi hakikatnya sebanyak 32 Ahli Parlimen langsung tidak hadir. Secara terus terang — mereka ponteng.

Apabila Ahli Parlimen gagal hadir untuk undian bersejarah sedemikian, hal itu bukanlah satu kesilapan prosedur yang kecil, sebaliknya merupakan pengabaian tanggungjawab.

Tiada alasan untuk berkecuali, melainkan niatnya memang untuk tidak memberikan sokongan semata-mata demi menggagalkan RUU kerajaan tersebut.

Oleh itu, Ahli Parlimen pembangkang tidak mempunyai sebab yang munasabah untuk mengundi menentang, memandangkan hal ini merupakan reformasi penting yang bertujuan untuk memperkukuh tadbir urus demokrasi.

Had tempoh dua penggal atau 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri akan menjadi isyarat jelas komitmen Malaysia terhadap pembaharuan institusi serta usaha untuk mencegah penumpuan kuasa yang berlebihan.

Namun, pembangkang memilih untuk berkecuali dan kemudian berbangga selepas RUU tersebut gagal diluluskan. Seseorang mungkin tidak bersetuju dengan kerajaan semasa, tetapi reformasi perlembagaan sepatutnya melangkaui sempadan parti politik.

Pindaan yang dicadangkan bukanlah untuk menyasarkan mana-mana individu atau parti politik. Hal ini adalah untuk memastikan bahawa tiada Perdana Menteri pada masa hadapan, tanpa mengira parti, akan dapat kekal memegang jawatan selama-lamanya.

Usul boleh dibawa semula

Hal ini adalah mengenai jaminan institusi, bukan tentang individu. Perkara ini bukan soal politik semata-mata, tetapi merupakan satu inisiatif reformasi politik yang penting dan berimpak besar.

Malah, perkara ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana sebagai contoh, di Amerika Syarikat, jawatan presiden dihadkan kepada dua penggal dan di Indonesia, perlembagaan turut mengehadkan presiden kepada dua penggal.

Sebagai pengundi, kita mempunyai hak untuk menuntut akauntabiliti dan pihak media mestilah mengajukan soalan kepada 32 Ahli Parlimen tentang sebab mereka tidak hadir.

Sudah cukup parah kita terpaksa berdepan dengan sandiwara sesetengah Ahli Parlimen, dan apabila tiba masanya untuk membuat keputusan mengenai perkara-perkara penting, kita mengharapkan mereka berada di Dewan.

Bagaimanapun, hal ini bukanlah penamat kerana pindaan itu boleh dan sepatutnya dibawa semula. Jika reformasi benar-benar bermakna, perkara itu memerlukan disiplin, kesepakatan, dan yang paling penting, kesediaan untuk meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan parti.


Wong Chun Wai ialah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Tokoh Wartawan Negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS