Salah seorang daripada dua peguam yang dinamakan dalam satu laporan polis, yang membawa kepada siasatan berhubung dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan, menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai “pembohongan terbesar”.
Peguam Nizamuddin Hamid berkata anak guamnya, Na’imah Abdul Khalid, tidak pernah memberikan arahan sedemikian kepada pasukan guamannya.
“Saya mengesahkan bahawa saya salah seorang yang dinamakan dalam laporan polis tersebut dan seorang lagi adalah Amir Zharif Abdullah.
“Sepanjang kami menjalankan tugas kami sebagai peguam kepada Toh Puan Nai’mah, tidak ada sama sekali sebarang perbincangan atau arahan yang diberikan kepada kami untuk menggulingkan kerajaan atau untuk undermine parliamentary democracy (melemahkan demokrasi berparlimen).
"That is the mother of all lies (ini adalah pembohongan besar),” kata Nizamuddin kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.
Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Khalid Ismail berkata polis sedang menyiasat satu komplot yang melibatkan seorang “individu berpengaruh” dan sebuah agensi media antarabangsa.

Dia berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Laporan polis itu mendakwa individu berkenaan — dikenal pasti sebagai Na’imah — telah mengadakan mesyuarat secara dalam talian sekitar Julai tahun lalu, yang membincangkan rancangan untuk menggunakan media antarabangsa bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
Dua anak Na’imah, dua peguam, serta beberapa wakil firma komunikasi strategik antarabangsa didakwa menghadiri mesyuarat tersebut.
Sejak itu, satu “pelan komunikasi” telah tersebar, yang memperincikan usaha untuk mempertahankan reputasi Allahyarham suaminya, bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin.

Ia berlaku ketika SPRM sedang menjalankan siasatan terhadap Daim dan keluarganya berhubung kekayaan mereka.
Hak pertahankan reputasi keluarga
Mengulas perkara itu, Nizamuddin berkata keluarga Daim berhak mempertahankan diri daripada sebarang tuduhan yang dilemparkan oleh kerajaan, SPRM dan media.
“Legasi dan nama mereka perlu dipertahankan sewajarnya. Itu sahaja.
“Ia keterlaluan. Dakwaan ini adalah pembohongan paling besar; laporan polis dan naratif yang sedang dijual kepada anda semua.
“Buat masa ini, kita doa yang terbaik,” katanya.
Semalam, dua lagi peguam Na’imah, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh, turut menafikan dakwaan Anwar di Parlimen bahawa pelan komunikasi awam keluarga Daim melibatkan “banker” dan “Zionis” dalam cubaan mensabotaj negara.
Mereka menyifatkan kenyataan perdana menteri itu sebagai “tidak benar, tidak masuk akal dan keterlaluan”, serta menuduh dia dengan sengaja mengelirukan Dewan Rakyat dan orang ramai.
Anwar dan PKR turut dipersoalkan mengenai dakwaan dwistandard dalam melantik firma perhubungan awam antarabangsa, selepas didedahkan bahawa PKR pernah melantik sebuah firma dari Amerika Syarikat pada 2016 untuk memberi tekanan kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak, supaya membebaskan Anwar daripada penjara.
