Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Had tempoh PM: Ada MP pembangkang salah faham - Fahmi
Diterbitkan:  Mar 4, 2026 5:20 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

Kekeliruan dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang menjadi punca mereka tidak menyokong rang undang-undang (RUU) yang mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun pada Isnin lalu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata ada wakil rakyat pembangkang menyangka RUU itu bertujuan untuk membolehkan Anwar Ibrahim kekal memegang jawatan perdana menteri sehingga 10 tahun.

"Jemaah menteri diberi sedikit taklimat salah faham kalangan MP pembangkang.

"Ada kalangan mereka telah beri maklum balas pada salah seorang menteri bahawa mereka ingatkan yang mereka undi pada hari itu adalah untuk memberi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM dengan tempoh berkhidmat untuk 10 tahun.

"Dan kami juga tak tahu bagaiamana pihak pembangkang boleh salah faham dalam isu tersebut

"Walhal seharusnya semua MP memahami bahawa usaha ini adalah untuk memastikan tak berlaku lagi satu keadaan di mana perdana menteri berasa bahawa dia akan dan boleh melakukan apa saja kerana boleh berkuasa sehingga bila-bila,” katanya pada sidang media di Putrajaya petang ini.

Bagaimanapun, Fahmi tidak mendedahkan siapa ahli parlimen pembangkang yang didakwa keliru mengenai RUU berkenaan, yang memerlukan pindaan Perlembagaan dan hanya boleh diluluskan dengan sokongan dua pertiga daripada 222 ahli Dewan Rakyat.

Cadangan itu gagal melepasi bacaan kali kedua pada Isnin lalu selepas hanya 146 ahli Parlimen menyokong dengan kurang dua undi daripada majoriti dua pertiga (148) undi yang diperlukan.

Untuk rekod, kerajaan ketika ini mempunyai sokongan 154 ahli parlimen dan ia mencukupi untuk meluluskan RUU berkenaan walaupun tanpa sokongan pembangkang.

Namun, lapan wakil rakyat kerajaan tidak hadir semasa proses pengundian, manakala pembangkang sebelum ini menyatakan mereka akan berkecuali kecuali Putrajaya membuat beberapa pindaan terhadap RUU tersebut.

"Jadi saya juga berharap dalam sidang akan datang, pihak pembangkang akan bersama-sama pihak kerajaan untuk memastikan pindaan perlembagaan ini yang tak bersifat partisan, yang hanya akan menguntungkan demokrasi negara kita, akan dapat diluluskan bersama,” tambah Fahmi.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mengambil tindakan terhadap wakil rakyatnya yang gagal hadir dalam undian RUU itu, Fahmi berkata perkara itu terpulang kepada perdana menteri untuk memutuskannya.

Dia turut memaklumkan bahawa dua ahli parlimen telah menulis surat kepada Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, yang juga ketua whip kerajaan, bagi menjelaskan ketidakhadiran mereka.

“Jadi kita nantikan enam yang lain (untuk beri penjelasan),” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS