Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayer adukan Zamri Vinoth ke polis sekali lagi
Diterbitkan:  Mar 4, 2026 6:23 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Polis sedang menyiasat catatan Facebook oleh Zamri Vinoth susulan laporan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang merupakan laporan keempatnya terhadap penceramah terbabit.

Laporan terbaru Rayer itu menyentuh catatan Zamri mengenai perhimpunan merobohkan sebuah kuil kecil Hindu yang terletak berhampiran pintu masuk Hospital Bukit Mertajam (HBM) yang dijadualkan pada hari Sabtu ini .

Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata kertas siasatan telah dibuka dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan bagi kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan atau kegusaran dalam kalangan orang awam atau mengganggu ketenteraman awam.

Pesalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Polis juga meminta orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih, berunsur provokasi atau membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum.

Azizee juga menasihati orang ramai tidak menyertai atau mengadakan sebarang perhimpunan yang boleh menimbulkan kacau ganggu atau menjejaskan ketenteraman awam masyarakat setempat.

Katanya berkata polis sedang memantau keadaan dengan teliti dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.

Anggap tindakan melulu

Rayer yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang membuat laporan itu selepas Zamri menyatakan sokongan kepada perhimpunan itu dalam catatan Facebooknya.

Dalam hantaran berkenaan, penceramah itu berkongsi poster perhimpunan dengan kapsyen: “On. Jom turun Hospital Bukit Mertajam. Dakwa dan roboh. Usah cakap banyak dengan pihak penjanayah. Cakap ulang-ulang pun depa buat tak faham bahasa. Next jom cari di Kedah.”

Perhimpunan itu dikenali sebagai Operasi Terjahan Rumah Anutan Haram dijadualkan jam 3 petang pada 7 Mac ini.

Pelbagai pihak termasuk ahli politik mempersoalkan jika Zamri mengatasi undang-undang kerana dia masih belum menghadapi tindakan walaupun hampir 1,000 laporan polis dibuat terhadapnya atas kenyataannya yang menghasut.

Sebelum ini, Rayer memfailkan laporan selepas Zamri menyamakan pembawa kavadi semasa perayaan Thaipusam dengan individu yang mabuk.

RSN Rayer

Sebagai tindak balas kepada laporan polis Rayer, Zamri menuduh ahli parlimen DAP terbabit memutarbelitkan kata-katanya, dengan mengatakan bahawa perhimpunan itu adalah untuk mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan.

"Anda semua membina sebuah kuil haram di hadapan hospital yang mengganggu ketenteraman awam dan mencetuskan isu perkauman.

"Jika anda ingin berdoa, sekurang-kurangnya cari tempat yang betul. Sebuah kuil haram hanya menyebabkan masalah kepada orang lain.

"Sejak bila kami mahu pergi dan merobohkan tempat anda? Chai phuii! Kami ingin mendesak kerajaan untuk mendakwa dan merobohkannya, wahai ahli parlimen yang tidak faham bahasa Melayu! Kami menuntut kerajaan yang mendakwa dan merobohkan, adakah anda faham, bodoh!" kata Zamri.

Sementara itu, Pemuda PKR Pulau Pinang mengecam sekeras-kerasnya tindakan operasi tersebut.

Muhammad Zakwan Mustafa Kamal

Ketuanya Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata tindakan berkenaan bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah jelas berpotensi menjadi pencetus kepada ketegangan antara kaum dan agama.

"Kami melihat insiden ini sebagai satu bentuk tindakan melulu yang cuba mengambil kesempatan atas sentimen agama untuk meraih perhatian politik murahan.

"Pulau Pinang bukan medan untuk eksperimen politik kebencian. Negeri ini dibina atas asas perpaduan, toleransi dan kematangan rakyatnya dalam mengurus kepelbagaian," katanya.

Menurut Zakwan, dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, tiada mana-mana individu, kumpulan atau organisasi berhak bertindak sebagai penguat kuasa tidak rasmi.

"Jika benar premis tersebut melanggar undang-undang atau tidak mempunyai kelulusan yang sah, maka biarlah pihak berkuasa yang mempunyai mandat dan bidang kuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya.

"Cubaan mencetuskan tekanan awam, melakukan provokasi atau memainkan sentimen agama adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh merosakkan keharmonian negeri ini. Politik adu domba tidak boleh diberi ruang di Pulau Pinang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS