KOMENTAR SUKAN | Minggu ke-28 daripada 38 yang ada untuk Liga Perdana Inggeris bagi musim ini berlangsung pada 1 dan 2 Mac lalu dengan antara perlawanan paling signifikan melibatkan Arsenal.
The Gunners – yang bermain lebih satu perlawanan – terus mendahului liga dengan 64 mata, lima mata di atas Man City yang bermain kurang satu perlawanan dengan 59 mata.
Ramai berharap Arsenal akan ‘membotol’ pada perlawanan tersebut terutamanya penyokong Man City, tetapi itu hanyalah harapan palsu dan tidak kesampaian. Ternyata Arsenal berjaya menjinakkan Chelsea di stadium keramat mereka dengan kemenangan 2-1.
Keputusan penting lain, Man City menewaskan Leeds 1-0, Fulham mengalahkan Tottenham Hotspur 2-1, Man United menundukkan Crystal Palace 2-1, Liverpool membenam West Ham 5-2, pasukan tercorot EPL, Wolves, mengejutkan Aston Vila 2-0.
Spurs yang berada dalam kelompok dihormati terus merosot dan berada di tangga ke-16 atau sekadar empat mata di atas kelompok kelab yang berpotensi tersingkir ke liga bawah.
Minggu lalu anak buah Igor Tudor dimalukan 1-4 oleh Arsenal, dan meneruskan kekalahan itu dengan 1-2 kepada Fuham.
Sementara itu dua gol set piece Arsenal ternyata cukup untuk memusnahkan harapan Chelsea yang terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah Pedro Neto dilayangkan kad merah pada minit ke-70.
Tewas walaupun tipis kepada penghulu liga memberi kesan buruk kepada The Blues yang terpaksa turun ke tangga keenam liga.
Harapan yang ada
Sebenarnya walaupun Chelsea menguasai bola di atas padang pada separuh masa pertama, permainan mereka sangat buruk dengan bola selalu dihantar ke arah belakang.
Ia adalah taktik kurang cerdik Chelsea, malah beberapa kali hampir memakan diri. Misalnya ketika penjaga gol, Robert Sanchez, teragak-agak untuk menghantar bola kepada rakan sepasukan sehingga hampir dihukum Viktor Gyokeres.
Semasa ketinggalan 0-1 pun Chelsea masih bermain santai danmenghantar bola ke kiri, ke kanan dan ke belakang seolah-olah bermain waktu petang di padang sekolah kampung.
Mujur juga di negara ini, The Blues bermain pada waktu malam dan selepas berbuka. Jika tidak, tentu berkurangan pahala puasa kerana pelbagai nama binatang akan disebut atau terkeluar akibat menyaksikan permainan santai Chelsea.

Satu lagi aspek yang signifikan dalam perlawanan tersebut ialah kad merah yang diterima Neto. Ia adalah kad merah kesembilan Chelsea pada musim ini - sekali gus menunjukkan kelab berkenaan sedang mengalami masalah disiplin pemainnya.
Kemenangan Arsenal baru-baru ini memang mengecewakan dan menghampakan peminat-peminat Man City yang berharap Chelsea membantu memudahkan hidup mereka.
Harapan untuk itu memang ada kerana Chelsea lebih menguasai bola tetapi bermasalah apabila diserang The Gunners.
Pada musim ini Arsenal adalah pakar set piece. Setiap tendangan sudut kelab itu menjadi amat berbahaya kepada mana-mana pasukan lawan.

Ini dibuktikan pada minit ke-21 apabila satu tendangan sudut di hantar ke hujung palang gol untuk disambut Gabriel Magalhaes sebelum disudahkan pula dengan tandukan William Saliba.
Selepas gol tersebut, corak permainan tetap sama apabila Chelsea menguasai bola namun selalu terkecewa. Aksi di depan pintu gol lawan pula dapat disekat berkali-kali oleh Arsenal.
Apapun keputusannya, ia pasti melegakan Arsenal dan mengecewakan Chelsea.
Sebagai pasukan juara kelab dunia, Chelsea sepatutnya menunjukkan prestasi cemerlang tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Tiada apa-apa faedah jika pasukan menguasai bola di atas padang namun gerakan segera menjadi tumpul apabila mendekati gawang lawan.
Arsenal menggunguli carta EPL kerana bijak memanafaatkan tendangan sudut semaksimum mungkin, selain mempunyai penyerang yang prolifik di hadapan gol seperti Bukayo Saka, Gyokeres dan juga Kai Havertz.
Adakah Arsenal akan menjadi juara EPL kali ini? Sama-sama kita nantikan.
SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam di Brunei Darussalam sebelum bersara pada hujung 2023. Dia kini menjadi penulis dan penceramah bebas dalam bidang undang-undang keluarga Islam.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
