Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JKPK diketuai menteri mengenai pengasingan AG-pendakwa raya dipersoal
Diterbitkan:  Mar 4, 2026 8:53 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Langkah kerajaan menubuhkan sebuah lagi jawatankuasa khas Parlimen bagi meneliti dan memperhalusi Rang Undang-undang (RUU) pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya, kini dipersoal Ahli Parlimen dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk penyokong kerajaan menggesa agar RUU pindaan Perlembagaan itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi yang dipengerusikan Ahli Parlimen Selayang daripada PKR, William Leong.

JKPK baru itu, yang bakal menjadi jawatankuasa ke-11 di bawah Parlimen, akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, manakala William Leong kini hanya menjadi ahli jawatankuasa bersama beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Dalam hantaran di Facebook malam tadi, Ahli Parlimen Subang dari PKR, Wong Chen mempersoalkan ketiadaan mana-mana ahli Parlimen PKR yang sebelum ini menekankan keperluan pindaan terhadap RUU itu dalam keanggotaan jawatankuasa berkenaan.

Wong berada dalam kumpulan ahli Parlimen PKR yang dilihat sehaluan dengan bekas menteri ekonomi dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli selain Lee Chean Chung (Petaling Jaya), S Kesavan (Sungai Siput), Onn Abu Bakar (Batu Pahat), Rodziah Ismail (Ampang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Hassan Karim (Pasir Gudang) dan Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).

Selain Azalina dan William Leong, JKPK yang ditubuhkan untuk mengkaji rang undang-undang itu turut dianggotai Syahredzan Johan (DAP-Bangi) dan Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari (Amanah-Alor Gajah) serta Noraini Ahmad (Umno- Parit Sulong).

Turut menganggotai jawatankuasa ialah Lo Su Fui (GRS-Tawau) yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan; Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu); serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar).

Wakil pembangkang pula terdiri daripada Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin (Bebas- Larut); Ketua Whip Bersatu, Ronald Kiandee (Beluran) dan Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu).

Ketika membentangkan usul untuk merujuk RUU itu kepada JKPK semalam, Azalina berkata jawatankuasa berkenaan boleh menjemput pihak lain seperti ahli parlimen, pakar undang-undang dan perlembagaan serta NGO untuk menghadiri prosidingnya “dari semasa ke semasa”.

Lee dalam kenyataannya di Facebook menegaskan reformasi parlimen bukan sekadar mengenai hasil, tetapi juga proses dan integriti institusi.

“Sama ada langkah (penubuhan JKPK baru ini) mengukuhkan semak dan imbang atau memberi isyarat pencerobohan terhadap kebebasan parlimen adalah persoalan yang wajar diteliti dengan cermat,” katanya.

Perlu diperincikan

Azalina turut memaklumkan parlimen bahawa jawatankuasa itu akan meneliti pelbagai aspek RUU berkenaan, termasuk mekanisme akauntabiliti pendakwa raya, serta mencadangkan pindaan yang difikirkan perlu.

Dia juga dilaporkan berkata laporan yang mengandungi syor jawatankuasa akan disediakan dalam tempoh tiga bulan, namun tempoh itu boleh dilanjutkan jika perlu.

Sementara itu, beberap pertubuhan masyarakat sivil dalam satu kenyataan hari ini turut menyatakan selain isu mekanisme akauntabiliti, perkara lain yang dibangkitkan termasuk proses pelantikan dan pemecatan pendakwa raya, tempoh dan had perkhidmatan, umur persaraan, serta risiko pengaruh peguam negara dan pendakwa raya terhadap perkhidmatan kehakiman.

Menurut mereka, isu-isu tersebut perlu diperincikan dan dipersetujui bagi memastikan pindaan Perlembagaan dapat dilaksanakan dengan lancar serta mendapat sokongan semua pihak berkepentingan.

Mereka turut berpandangan bahawa pemisahan jawatan dan pejabat Pendakwa Raya memerlukan penggubalan Akta Pemerkasan (Enabling Act) bagi memperincikan secara menyeluruh peranan pendakwa raya dan perkhidmatan berkaitan.

Langkah itu, katanya, akan membolehkan peraturan dan prosedur berkaitan pejabat pendakwa raya ditetapkan, termasuk fungsi teras dan prasyarat pelaksanaan kuasa pendakwaan, kewajipan mengeluarkan garis panduan, kod tatakelakuan pendakwaan dan kod etika, serta perkara berkaitan lain.

“Bagi memperkukuh legitimasi pindaan ini, draf rang undang-undang yang dipinda pada masa depan juga perlu dibuka untuk perbincangan dengan masyarakat sivil dalam tempoh munasabah supaya penelitian menyeluruh dapat dibuat dan penambahbaikan dapat dicapai berasaskan konsensus,” kata mereka.

Kenyataan itu disokong oleh Bersih, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS