mk-logo
Berita
ULASAN | Menanti Dr Sam mengolah rasa terbuku Muhyiddin, Hamzah

ULASAN | Cabaran paling utama kepada Ahmad Samsuri Mokhtar apabila diangkat sebagai orang nombor wahid PN yang baru bukanlah sekadar menang besar dalam PRU atau pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Bukan juga untuk merealisasikan hasrat penyokong gabungan itu supaya seorang tokoh PAS akhirnya dilantik menjadi perdana menteri. Ia mustahil dicapai jika cabaran utama yang perlu dihadapi Naib Presiden PAS itu tidak diatasi dengan tuntas.

Ahmad Samsuri perlu membuktikan dia memiliki sentuhan magis tersendiri sehingga layak menggantikan Muhyiddin Yassin. Jika tidak, sia-sia sajalah Menteri Besar Terengganu itu dijulang oleh PAS dan sekutu mereka sebagai tokoh yang paling layak mengepalai PN.

Dengan magis itu jugalah dia perlu membuktikan mampu meneroka jalan bagi mendamaikan persengketaaan di antara Muhyiddin dengan bekas timbalannya Hamzah Zainudin.

Itulah ujian besar yang didepani Ahmad Samsuri sebagai orang nombor wahid PN. Dia harus menentukan hala tuju, melaksanakan perancangan bersama, malah dalam keadaan sekarang – mendamaikan, menyatupadukan puak-puak yang berseteru di bawah bumbung yang sama.

Kita boleh saja tolak ke tepi dahulu soal sama ada Ahmad Samsuri layak diangkat sebagai calon perdana menteri PN atau tidak. Hal itu kerana krisis dalaman Bersatu ketika ini mewujudkan masalah cinta dan benci di antara PAS, Bersatu dan Hamzah bersama kemnya.

Persengketaan di antara kem Muhyiddin dan Hamzah nampaknya sukar dirungkai walaupun PAS mungkin boleh berdiri sebagai orang tengah.

Ketika ini Hamzah bersikeras melaungkan ikrar perjuangannya – selepas dipecat Bersatu – bahawa dia kini adalah penentang nombor satu Muhyiddin.

Dengan membawa segerombolan besar wakil rakyat Bersatu di belakangnya, ketua pembangkang itu nampak sudah siap dengan kuda-kuda yang dipasak utuh di posisinya.

Tumpuan pada garis perbezaan

Namun, mereka setakat ini belum ada parti yang menjadi tempat berpayung. Andai kata ada parti baru ditubuhkan atau diterajui Hamzah sekali pun, ia masih sukar untuk merangkul kerjasama kerana tetap akan bertemu titik panas dengan Bersatu.

Agak mustahil permusuhan yang baru meletus boleh didamaikan dengan sekelip mata walaupun seni politik adalah serba mungkin.

Itu belum lagi mengambil kira kesan remuk-redam rasa yang diperam masing-masing sama ada di pihak Bersatu mahupun PAS.

Muhyiddin dan Hamzah pula masing-masing berada dalam posisi sekarang – menjadi seteru tajam yang pantang bersentuhan antara satu sama lain.

Agak sukar untuk mencari titik persamaan ketika tiap tikungan jalan perjuangan masing-masing bertembung begitu keras di setiap sudat pandang. Lalu, garis perbezaan sentiasa menjadi tumpuan.

Muhyiddin nampak cuba menunjukkan dia masih memimpin dengan selesa dalam Bersatu di sebalik kehilangan sebahagian besar ahli parlimen serta pimpinan akar umbi yang dibawa arus Hamzah.

Sebagai penentang nombor satu Muhyiddin, Hamzah tidak mungkin rela meleburkan egonya dalam apa jua aspek termasuk dalam soal rundingan kerusi berdepan pilihan raya kelak.

Begitulah yang dapat kita baca sekurang-kurangnya pada waktu ini.

Berdepan hal-hal sedemikianlah, kedudukan Ahmad Samsuri sepatutnya menjadi faktor penyejuk keadaan yang membahang. Mahu atau tidak sudah tentu dia akan mengheret PAS untuk menjadi akar tunjang dalam setiap langkah yang bakal diambil.

Selebihnya sudah tentu Ahmad Samsuri akan mengambil kira sabda-sabda daripada pimpinan tertinggi PAS.

Berundur atau ditendang

Sebagai segmen terbesar dalam PN, sudah tentu PAS akan menggunakan kelebihan yang ada untuk menguasai apa juga keadaan yang menguntungkan mereka ketika berdepan dilema untuk merungkai permasalahan utama PN itu.

Dapat difahami PAS akan terus memelihara kepentingan PN, namun di sebalik itu tidak dapat difikirkan mereka sanggup mendahulukan parti lain berbanding PAS sendiri.

Wan Mohd Mahyiddin dalam bukunya Panduan Politik untuk keutuhan parti dan kesejahteraan rakyat (1974) menegaskan: "Sesebuah parti politik banyak menempuhi dugaan, yang sesetengahnya dapat diatasi dan sesetengahnya tidak. Perubahan-perubahan mungkin dibuat bagi menyesuaikan perjuangannya dengan keadaan yang terbaru. Adakalanya ia tidak dapat memahami keadaan yang berubah, dengan itu tidak dapat membuat persediaan."

Barangkali PN kini berada pada fasa tersebut – sedang mengolah arus perubahan bagi mendepani dinamika politik masa depan, paling tidak pun ia akan menjadi transisi yang lebih matang supaya kekal relevan.

Semuanya harus diadun dengan kebijakan yang luar biasa, bahkan perlu bersedia jika ada pihak yang mungkin terkorban dalam acuan Ahmad Samsuri kelak.

Ada kebarangkalian atau pemboleh ubah yang mudah diramal juga. Satu daripadanya ialah, PAS perlu pastikan salah satu pihak – sama ada kem Hamzah atau Muhyiddin – rela berundur atau ditendang dari PN.

Cuma istilah 'ditendang' itu mungkin kelihatan keras dan biadab. Namun sebagai pakar penerbangan yang sepatutnya terlatih untuk melihat sesuatu dari sudut pandang ‘mata burung’, Ahmad Samsuri mungkin ada cara atau rumus yang boleh diterima pihak yang berseteru.

Selepas itu dia tetap tidak terlepas daripada mencipta musuh yang baru pula.

Kira-kira ia bolehlah dianggap sebagai berdepan risiko jalan mati, sama ada ke atas salah satu pihak yang berseteru itu, atau PN sendiri, khususnya menjelang PRU tidak lama lagi.

Momentum dibawa Samsuri

Begitu juga PAS, mereka terpaksa berkorban dan belajar untuk menerima dan melepaskan. Sudah tentu PAS tidak akan terasa sangat kerana kisah menerima atau melepaskan itu bukanlah sesuatu yang aneh kepada mereka.

Selain cabaran utama berkenaan, Ahmad Samsuri selaku tokoh teknokrat perlu menguruskan naratif untuk tampil sebagai pembangkang yang berkaliber dalam tempoh berbaki sebelum tibanya PRU.

Apabila nama Ahmad Samsuri diumum sebagai Pengerusi PN, sambutan masyarakat dilihat tidak menonjolkan reaksi terlalu mengujakan, kecuali dalam kalangan penyokong PAS sahaja.

Malah reaksi di pihak Bersatu juga malap saja. Untuk bersangka baik, kita andaikan saja keadaan itu terzahir kerana Bersatu sedang berdepan dengan krisis dalaman.

Keadaan itu sepatutnya memberi kesedaran kepada PAS betapa peningkatkan persepsi dan kepercayaan awam terhadap kepimpinan Ahmad Samsuri perlu dirangsang terus.

Antaranya, PAS perlu dilihat benar-benar meyakinkan dalam menguruskan perselisihan di antara garis keras atau proulama dengan kumpulan profesional dan teknokrat.

Mengatasi defisit kepercayaan dalaman sangat penting buat Ahmad Samsuri terutamanya sebagai orang baru yang diangkat ke jawatan tertinggi gabungan sebesar PN.

Jika kita imbas kembali sedikit ke belakang, sayugia diingatkan betapa Adun Ru Rendang itu mengambil langkah awal apabila meletakkan jawatan sebagai Bendahari Agung PN pada penghujung 2024.

Pakar aeroangkasa itu sempat memetik kata-kata renungan seorang legenda bola keranjang AS, Kareem Abdul Jabbar: "Saya cuba melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai. Ia mungkin hanya perkara kecil, tetapi pada kebiasaannya akan membezakan antara menang dan kalah."

Apa pun, pada akhirnya, PN kini di tangan Ahmad Samsuri dan terserah kepada bekas pensyarah universiti itu untuk cuba melakukan perkara besar pada “masa yang sesuai”.

Ia sangat kritikal kerana keputusannya itulah yang akan membezakan di antara PN yang menang dan PN yang gagal.


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini yang masih berharap Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah menjadi calon Perdana Menteri PAS.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS