Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Boeing Composites M'sia nafi patahkan usaha penubuhan kesatuan sekerja

Boeing Composites Malaysia Sdn Bhd menafikan dakwaan mematahkan usaha penubuhan kesatuan di fasilitinya di Bukit Kayu Hitam, Kedah, susulan tuduhan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Alat-Alat Pengangkutan dan Sekutu (NUTEAIW) bahawa pihak pengurusan memberi tekanan kepada pekerja walaupun undian menyokong kesatuan menang besar.

Syarikat itu berkata, ia tidak mengumpul tandatangan pekerja bagi menyokong permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan undian sulit bagi penubuhan kesatuan itu.

Jurucakap syarikat memberitahu Malaysiakini bahawa permohonan semakan kehakiman dibuat susulan kebimbangan yang disuarakan oleh pekerja berhubung proses pengundian dalam undian sulit berkenaan.

Bagaimanapun, dia tidak memperincikan kebimbangan tersebut. Malaysiakini telah meminta syarikat berkenaan menjelaskan sebarang dakwaan ketidakaturan yang berlaku.

Menurut syarikat itu, keputusan muktamad akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam satu kenyataan semalam, Setiausaha Agung NUTEAIW, Gopal Kishnam Nadesan mendakwa pihak pengurusan BCM telah memberi tekanan kepada pekerja untuk menandatangani petisyen bagi menolak penubuhan kesatuan.

Setiausaha Agung NUTEAIW, Gopal Kishnam Nadesan

Ini walaupun lebih 85 peratus pekerja mengundi menyokong kesatuan tersebut dalam undian sulit yang diadakan pada 10 Dis 2025, katanya.

“Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dengan jelas menyatakan bahawa ketua pengarah (perhubungan perusahaan) bertanggungjawab memberi pengiktirafan sebaik sahaja sokongan majoriti dibuktikan melalui undian sulit.

“Petisyen pasca pilihan raya yang direka oleh majikan tidak mempunyai asas undang-undang dan hanya bertujuan melemahkan proses demokrasi,” katanya.

Dia mendakwa BCM melanggar Seksyen 4 dan 5 Akta Perhubungan Perusahaan yang melarang sebarang campur tangan dalam penubuhan kesatuan.

Syarikat itu juga didakwa melanggar Artikel 2 Konvensyen Hak Untuk Berorganisasi dan Perundingan Kolektif (No.98) Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah diratifikasi oleh Malaysia, tambahnya.

Artikel 2 melindungi penubuhan organisasi pekerja daripada sebarang campur tangan.

Sehubungan itu, Gopal menggesa campur tangan Menteri Sumber Manusia, R Ramanan bagi menghentikan aktiviti mematahkan usaha penubuhan kesatuan yang didakwa dilakukan oleh BCM.

Dia turut menggesa kerajaan memperkenalkan klausa “pemerhati” dalam Akta Perhubungan Perusahaan bagi mengehadkan peranan majikan kepada pemerhati sahaja ketika undian sulit dijalankan.

Langkah itu, katanya, dapat mengurangkan campur tangan dalam proses pengundian atau pertikaian berpanjangan melalui litigasi.

“Visi Malaysia Madani tidak boleh menjadi sekadar slogan kosong. Ia mesti melindungi golongan rentan dan menjunjung piawaian buruh antarabangsa.

“Kami tidak akan membiarkan ahli kami terdedah tanpa pembelaan terhadap tindakan melampau korporat,” tegasnya.

Malaysiakini telah menghubungi pihak Ramanan untuk mendapatkan komen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS