Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU had tempoh perdana menteri dibentang semula Jun
Diterbitkan:  Mar 5, 2026 9:18 AM
Dikemaskini: 1:18 AM

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan dibentang semula pada sesi Dewan Rakyat seterusnya Jun ini.

Jurucakap Kerajaan Madani Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Beliau berkata kerajaan berharap pindaan Perlembagaan yang bersifat tidak partisan dan bertujuan menambah baik demokrasi negara itu dapat diluluskan dengan sokongan semua pihak kelak.

"Seharusnya semua Ahli Parlimen memahami bahawa usaha ini adalah untuk memastikan tidak lagi berlaku satu keadaan di mana Perdana Menteri berasa bahawa dia akan dan dia boleh melakukan apa sahaja kerana dia boleh berkuasa sehingga bila-bila," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya, semalam.

RUU berkenaan gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen pada Isnin lepas apabila hanya 146 menyokong, 32 tidak hadir dan 44 berkecuali.

Keputusan undi belah bahagi diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul selepas ia dibahaskan oleh 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sebarang kelulusan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan Ahli Parlimen.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata Jemaah Menteri hari ini turut diberi taklimat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Whip Kerajaan berhubung status lapan Ahli Parlimen penyokong kerajaan yang tidak hadir dalam sesi mengundi bagi RUU itu.

Beliau berkata Kabinet juga difahamkan berlaku salah faham dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang beranggapan RUU itu adalah untuk memberi mandat kepada Anwar menjadi Perdana Menteri bagi tempoh 10 tahun.

Lapan Ahli Parlimen menyokong kerajaan tetapi tidak hadir semasa sesi mengundi RUU itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Henry Sum Agong (Lawas), Riduan Rubin (Tenom), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Suhaimi Nasir (Libaran), Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Larry Soon (Julau) dan Datuk Seri Dr Jeffrey@ Kitingan (Keningau).

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan yakin RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan diluluskan Parlimen pada sidang akan datang.

Fadillah Yusof

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Whip Kerajaan berkata ia bersandarkan sokongan majoriti ahli Parlimen terhadap cadangan reformasi berkenaan, meskipun RUU itu tidak memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, Isnin lepas.

Beliau berkata kebanyakan ahli Parlimen yang tidak hadir semasa proses pengundian menyatakan sokongan terhadap RUU itu.

“Dua ahli Parlimen telah menghantar surat rasmi menjelaskan sebab ketidakhadiran mereka, manakala beberapa yang lain turut memaklumkan perkara sama secara lisan.

"Ada yang terkandas di luar negara disebabkan penerbangan tak ada... kecuali Bukit Gantang (Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal) yang mengatakan dia tidak bersetuju, yang lain semua menyokong cuma kebetulan keadaan pada waktu itu mereka tidak dapat hadir,” katanya.

Fadillah berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Putrajaya, semalam.

Fadillah berkata langkah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar untuk melakukan reformasi kepada sistem pentadbiran negara.

Beliau turut menegaskan bahawa cadangan tersebut tidak menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong mahupun institusi Raja-Raja Melayu.

Keputusan undi belah bahagi RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 itu menyaksikan 146 Ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi.

Pindaan Perlembagaan berkenaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga, iaitu 148 Ahli Parlimen untuk diluluskan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS