Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke arah Israel pada awal pagi Khamis ketika serangan udara di Asia Barat memasuki hari keenam. Ketegangan memuncak selepas kapal selam Amerika Syarikat (AS) menenggelamkan kapal perang Iran, selain ancaman Tehran untuk memusnahkan infrastruktur tentera dan ekonomi di seluruh rantau tersebut.
Laporan AP menyebut Israel mengumumkan serangan yang bakal tiba itu sejurus selepas tenteranya memaklumkan telah memulakan bedilan baharu di Lubnan yang menyasarkan kumpulan pejuang Hezbollah tajaan Iran di pinggir selatan Beirut.
Pertempuran terus berlanjutan selepas AS dan Israel memperhebatkan pengeboman pada Rabu ke atas pasukan keselamatan Iran serta simbol-simbol kuasa negara itu.

Kepantasan serangan ke atas Iran dilaporkan sangat sengit sehingga televisyen kerajaan mengumumkan upacara berkabung untuk Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei — yang terbunuh pada awal konflik — terpaksa ditangguhkan. Sebagai rekod, berjuta-juta orang menghadiri pengebumian pendahulunya, Ayatollah Ruhollah Khomeini, pada tahun 1989.
AS dan Israel melancarkan perang ini pada Sabtu dengan menyasarkan kepimpinan Iran, simpanan peluru berpandu, serta program nuklear mereka, sambil memberi gambaran bahawa menggulingkan kerajaan adalah matlamat utama.
Bagaimanapun, sasaran tepat dan garis masa operasi sering berubah-ubah, sekali gus memberi isyarat kepada konflik terbuka tanpa noktah.

Presiden Donald Trump pada Rabu memuji tentera AS kerana "beraksi dengan sangat baik di barisan hadapan perang." Rakan sekutu daripada parti Republikan di Senat AS turut berdiri teguh di belakang Trump dengan menolak resolusi yang bertujuan menghentikan peperangan tersebut.
Iran juga dilapor melepaskan tembakan ke arah Bahrain, Kuwait, dan Israel ketika konflik semakin meruncing. Turkiye pula menyatakan bahawa sistem pertahanan NATO berjaya memintas peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran sebelum ia memasuki ruang udara negara itu.
Perang ini telah mengorbankan lebih 1,000 nyawa di Iran, lebih 70 di Lubnan, dan kira-kira puluhan lagi di Israel, menurut pegawai di negara terbabit. Ia turut mengganggu bekalan minyak dan gas dunia, melumpuhkan perkapalan antarabangsa, serta menyebabkan beratus-ratus ribu pengembara terkandas di Asia Barat.
Bangunan tentera, pasukan keselamatan Iran jadi sasaran
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata torpedo daripada kapal selam Amerika telah menenggelamkan kapal perang Iran pada malam Selasa di Lautan Hindi.
Pihak berkuasa Sri Lanka memaklumkan 32 orang berjaya diselamatkan dari kapal tersebut, manakala tentera laut negara itu melaporkan telah menemukan 87 mayat.

Israel mendakwa telah membedil bangunan-bangunan yang dikaitkan dengan Basij, pasukan sukarela separa tentera di bawah Pengawal Revolusi Iran yang sebelum ini terlibat dalam tindakan keras terhadap penunjuk perasaan pada Januari sehingga mengorbankan ribuan nyawa.
Tentera Israel turut menyerang bangunan yang mempunyai kaitan dengan komando keselamatan dalaman Iran. Israel dan AS secara terbuka menyatakan mahu melihat rakyat Iran menggulingkan sistem teokrasi di negara itu, dan serangan terhadap pasukan keselamatan dalaman mungkin bertujuan untuk mempercepatkan proses tersebut.
Bagaimanapun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata pasukan tenteranya mempunyai kepimpinan yang tidak berpusat (decentralized), dengan setiap unit bertindak secara bersendiri, yang mungkin akan mengurangkan kesan serangan terhadap pusat perintah dan kawalan utama.
Televisyen kerajaan Iran memaparkan runtuhan bangunan di Tehran dan temu bual dengan penduduk yang mendakwa serangan tersebut merosakkan kediaman mereka. Serangan turut dilaporkan berlaku di bandar Qom, menyasarkan bangunan yang dikaitkan dengan panel ulama yang ditugaskan untuk memilih pemimpin agung Iran yang baharu. Media Iran melaporkan bangunan itu kosong ketika kejadian.
Garis masa operasi AS berubah-ubah
Dalam taklimat di Pentagon, Hegseth tidak memberikan garis masa muktamad bagi operasi AS.
"Kamu boleh kata empat minggu, tetapi ia mungkin jadi enam, lapan, atau tiga minggu," katanya.
"Akhirnya, kami yang menetapkan rentak dan tempo. Musuh kini hilang imbangan, dan kami akan terus memastikan mereka begitu."
Laksamana Brad Cooper, panglima tertinggi tentera AS di Asia Barat, berkata pasukan AS telah merosakkan pertahanan udara Iran serta memusnahkan peluru berpandu balistik, pelancar, dan dron.

Pegawai tentera AS dan Israel mendakwa pelancaran dari Iran semakin berkurangan seiring dengan perkembangan perang. Komando Homefront Israel mengumumkan pelonggaran sekatan yang sebelum ini menutup tempat kerja di seluruh negara. Pejabat dibenarkan beroperasi semula pada Khamis sekiranya terdapat tempat perlindungan berdekatan, namun sekolah kekal ditutup.
Walau bagaimanapun, bunyi letupan masih kedengaran di Israel pada awal pagi Khamis, yang menyatakan sistem pertahanannya sedang bertindak memintas peluru berpandu Iran.
Sekurang-kurangnya 1,045 orang terkorban di Iran setakat Rabu, menurut Yayasan Syuhada dan Hal Ehwal Veteran negara itu. Di pihak Israel, 11 orang maut, manakala enam tentera AS turut terkorban.
Angka kematian di Lubnan pula melebihi 70 orang, dengan Kementerian Kesihatan melaporkan tiga orang maut apabila serangan dron mengenai dua buah kenderaan di lebuh raya Beirut pada Rabu. Tentera Israel mendakwa sasaran serangan itu adalah ahli Hezbollah.
Serangan sepatutnya pada pertengahan tahun
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mendedahkan bahawa serangan terhadap Iran asalnya dirancang pada pertengahan 2026, namun "timbul keperluan untuk menyegerakan segala-galanya kepada bulan Februari."

Dia menyenaraikan peristiwa di dalam Iran, pendirian Trump, dan kemungkinan untuk "mewujudkan operasi gabungan" sebagai faktor penyebabnya.
Terdahulu, protes di Iran telah memberi tekanan luar biasa kepada kepimpinannya. Trump pernah mengancam tindakan ketenteraan sebagai tindak balas terhadap tindakan keras tersebut sebelum beralih tumpuan kepada program nuklear Iran yang dipertikaikan.
Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt berkata operasi AS dilancarkan sebahagiannya kerana kebimbangan bahawa Iran mungkin akan menyerang kakitangan dan aset Amerika terlebih dahulu.

Panggilan telefon antara Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum serangan bermula juga disifatkan sebagai "penting dalam menentukan garis masa" operasi tersebut.
Bekalan tenaga dalam bahaya
Pengawal Revolusi Iran mengeluarkan ancaman paling keras setakat ini, dengan menyatakan bahawa serangan terhadap mereka akan mengakibatkan "pemusnahan sepenuhnya infrastruktur ketenteraan dan ekonomi di rantau ini."
Sebuah kapal kontena yang mengibarkan bendera Malta diserang pada Rabu ketika melalui Selat Hormuz, laluan sempit di Teluk Parsi yang menjadi laluan bagi kira-kira satu perlima minyak dunia. Kapal itu terkena dua peluru berpandu lalu terbakar, menurut Menteri Pengangkutan Malta, Chris Bonett. Semua 24 anak kapal berjaya diselamatkan.

Trafik kapal tangki melalui selat itu dilaporkan menjunam kira-kira 90 peratus berbanding paras sebelum perang, menurut penganalisis perkapalan MarineTraffic.com pada Rabu.
Harga minyak melambung tinggi ekoran gangguan di selat tersebut, sementara pasaran saham global terjejas teruk akibat kebimbangan bahawa lonjakan harga tenaga akan melumpuhkan ekonomi dunia.
Ulama Iran pilih pemimpin agung baharu
Pemimpin Iran kini bergegas mencari pengganti Khamenei yang telah memerintah negara itu selama 37 tahun. Ini merupakan kali kedua sejak Revolusi Islam 1979 seorang pemimpin agung baharu perlu dipilih.
Calon berpotensi terdiri daripada golongan garis keras yang mahukan konfrontasi dengan Barat hingga kepada golongan reformis yang mencari jalan diplomasi. Mojtaba Khamenei, anak kepada mendiang Khamenei, sekian lama dianggap sebagai calon — meskipun dia tidak pernah memegang jawatan dalam kerajaan.

Sebagai isyarat bahawa kepimpinan Iran hanya akan memperkukuh kuasa ketika berdepan krisis terbesar dalam dekad ini, ketua badan kehakiman memberi amaran bahawa "sesiapa yang bekerjasama dengan musuh dalam apa jua cara akan dianggap sebagai musuh."
Menteri Pertahanan Israel pula menegaskan melalui laman X bahawa pemimpin agung Iran seterusnya — jika dia terus memilih memusuhi Israel, AS dan lain-lain - “akan menjadi sasaran untuk dihapuskan.”
