Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin penghalang perpaduan Melayu, obses jadi PM, kata Wan Saiful
Diterbitkan:  Mar 5, 2026 11:16 AM
Dikemaskini: 3:16 AM

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan membidas sikap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang didakwanya menjadi penghalang utama kepada usaha permuafakatan parti-parti besar Melayu di negara ini.

Ahli parlimen Bersatu yang dipecat daripada partinya, baru-baru ini berkata, tindakan Muhyiddin yang berang apabila terdapat pemimpin bertemu dengan parti lain menunjukkan bekas perdana menteri itu seolah-olah sengaja menolak usaha penyatuan tersebut.

Wan Saiful Wan Jan

Malah, dia mendakwa Muhyiddin kini mempunyai "obsesi" terhadap jawatan sehingga sanggup membiarkan hubungan baik dengan rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN), iaitu PAS, menjadi rosak.

"Nampaknya hari ini obsesi Muhyiddin ialah jawatan. Dia marah apabila ada orang tuduh Hamzah (Zainudin) nak diletak sebagai timbalan perdana menteri. Kalau betul dia ada maklumat, buktikanlah.

"Yang lebih menarik, kita semua tahu mengenai usaha untuk mencalonkan Muhyiddin kembali sebagai perdana menteri. Kalau jawatan itu untuk dia, hukumnya boleh.

“Tetapi kalau jawatan itu untuk orang lain, salah pula?" soalnya dalam satu kenyataan di media sosial, hari ini.

Penyatuan Melayu

Mengulas mengenai dakwaan gerakan 'Bangkok Move', Wan Saiful menegaskan dia tidak mempunyai sebarang maklumat mahupun pengetahuan mengenainya.

Bagaimanapun, bekas wakil rakyat Bersatu itu berpandangan mana-mana pihak harus bersedia untuk bertemu dengan sesiapa sahaja demi membincangkan agenda penyatuan politik Melayu.

"Secara umumnya saya merasakan pendekatan kita haruslah mengusahakan perpaduan parti besar Melayu di mana-mana peringkat dan kita perlu bertemu semua pihak yang bersesuaian," katanya lagi.

Kenyataan Wan Saiful itu dipercayai merujuk kepada pendedahan Muhyiddin sebelum ini yang mendakwa Hamzah — yang juga telah dipecat daripada Bersatu — mengadakan rundingan sulit dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tanpa pengetahuan parti.

Muhyiddin sebelum ini mendakwa mempunyai maklumat sahih mengenai pertemuan Hamzah dan Zahid, yang dikaitkan dengan gerakan 'Bangkok Move', sekali gus menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran disiplin parti yang besar.

Namun bagi Wan Saiful, sikap Muhyiddin yang seolah-olah tidak berminat terhadap permuafakatan dengan parti besar lain menjadi punca utama kegagalan usaha penyatuan tersebut sebelum ini.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata, gerakan dalaman untuk merosakkan dan memecah-belahkan parti yang didakwa dilakukan oleh bekas timbalan presiden parti itu menjadi antara punca utama pemecatannya daripada Bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS