Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trump bangga prestasi '15 daripada skala 10' di Iran
Diterbitkan:  Mar 5, 2026 12:19 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Presiden Donald Trump pada Rabu menilai prestasi Amerika Syarikat (AS) dalam peperangan dengan Iran sebagai "15 daripada skala 10", sambil mendakwa pemimpin republik Islam itu sedang dibunuh dengan pantas dan berikrar untuk terus mara.

Kenyataan Trump itu dibuat ketika konflik memasuki hari kelima, menyaksikan kapal selam AS menenggelamkan kapal perang Iran di luar pantai Sri Lanka serta siri letupan baharu yang menggegarkan seluruh Asia Barat.

"Kita beraksi dengan sangat baik di barisan hadapan perang, itu adalah kenyataan yang paling sederhana.

‘Ada orang tanya, pada skala 10, bagaimana penilaian saya? Saya kata sekitar 15," kata Trump kepada perhimpunan ketua-ketua teknologi di White House.

"Kita berada dalam kedudukan yang sangat kuat sekarang, dan kepimpinan mereka sedang lenyap dengan pantas. Sesiapa sahaja yang kelihatan mahu menjadi pemimpin, mereka akan berakhir dengan kematian."

AFP juga memetik Trump sebagai berkata, bahawa simpanan peluru berpandu balistik Tehran sedang "dihapuskan dengan cepat."

Dia mengulangi kewajaran menyerang Iran dengan mendakwa Tehran sedang dalam perjalanan untuk memperoleh senjata nuklear.

"Apabila orang gila mempunyai senjata nuklear, perkara buruk akan berlaku," tambah Trump.

Pemimpin AS itu berikrar akan "terus mara" dengan kempen udara bersama Israel yang telah pun membunuh pemimpin agung Iran, Ali Khamenei, pada hari pertama serangan itu, Sabtu lalu.

Pentadbiran Trump berdepan kritikan selepas beberapa hari menyampaikan mesej bercampur-campur mengenai rasional peperangan tersebut, memandangkan janji kempennya sebelum ini adalah untuk "tidak memulakan peperangan baharu."

'Bayar dengan darah'

Trump masih belum memperincikan rancangannya mengenai apa yang bakal berlaku selepas perang tamat, atau menyatakan sama ada bdia mahukan pertukaran menyeluruh kerajaan Iran, atau bekerjasama dengan saki-baki pemimpin yang sedia berunding dengan Washington.

Sebelum ini, Trump telah melaksanakan polisi bekerjasama dengan tokoh-tokoh daripada kerajaan Venezuela susulan tindakan AS menggulingkan Nicolas Maduro pada Januari lalu — serta membuat perjanjian untuk mengekstrak minyak Venezuela.

White House pada Rabu menyatakan bahawa kerajaan ulama Iran sedang "dihancurkan sepenuhnya" dan "membayar dengan darah" — namun enggan mengesahkan sama ada Trump mahukan pertukaran rejim di Tehran.

Bagaimanapun, Trump sedang "mempertimbangkan secara aktif" peranan AS di Iran selepas operasi bersama Amerika-Israel terhadap negara itu selesai, menurut Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt.

"Saya rasa ia adalah sesuatu yang sedang dipertimbangkan secara aktif oleh presiden dan sedang dibincangkan bersama penasihat serta pasukan keselamatan nasionalnya," kata Leavitt dalam satu taklimat.

Leavitt turut menolak laporan bahawa Trump telah bersetuju untuk mempersenjatai militia pemisah Kurdis di Iran bagi membolehkan mereka bangkit menentang kerajaan, dan menyifatkan laporan itu sebagai "palsu".

Namun, dia mengesahkan bahawa Trump ada bercakap dengan pemimpin Kurdis. The Wall Street Journal sebelum ini melaporkan Trump sedang mempertimbangkan untuk menyokong kumpulan Kurdis tersebut.

Leavitt juga berkata AS dan Israel menjangkakan "penguasaan lengkap dan mutlak" ke atas ruang udara Iran dalam "beberapa jam akan datang", senada dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pentagon sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS