Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengecam keras hala tuju Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa semakin terpesong daripada mandat asalnya untuk membanteras rasuah.
Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini mendakwa agensi penguatkuasaan itu kini dilihat menjadi alat intimidasi politik.
Bersih memberikan tumpuan kepada "pemburuan" awam terbaru terhadap James Chai, seorang warganegara biasa dan bekas pegawai kepada bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

"Tindakan menyiarkan 'notis mengesan' yang turut memaparkan alamat rumah keluarganya - di mana ibu bapanya yang sudah lanjut usia menetap.
“Walaupun James Chai menegaskan beliau tidak pernah dihubungi secara langsung untuk sebarang siasatan, SPRM telah terlibat dalam tindakan memalukan secara sengaja serta membina persepsi telah bersalah,” kata Bersih.
Badan pemantau pilihan raya itu turut menyifatkan prosedur tersebut sebagai "pendedahan maklumat peribadi" (doxxing) institusi yang bertujuan mencemarkan reputasi, bukannya prosedur siasatan yang lazim.
Pola tindakan balas
Bersih juga menyatakan kebimbangan bahawa peningkatan tekanan ini berlaku ketika bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli terus lantang memperjuangkan reformasi institusi, termasuk penglibatannya dalam perhimpunan #TangkapAzamBaki sebelum ini.
“Masa tindakan ini diambil menimbulkan persepsi wujudnya pola tindakan balas, di mana SPRM dipersenjatakan terhadap mereka yang menuntut kebertanggungjawaban institusi penguatkuasaan antikorupsi ini.
“Mempergunakan SPRM untuk menyasarkan pegawai politik atas alasan kepentingan negara sambil mengabaikan kerosakan di peringkat tertinggi suruhanjaya itu sendiri adalah satu pengkhianatan terhadap semangat reformasi,” tegas kenyataan itu lagi.
Keyakinan awam terhadap SPRM dikatakan merosot ke tahap terendah susulan pendedahan media antarabangsa, Bloomberg, mengenai dakwaan kaitan "mafia korporat" dalam agensi itu serta isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki yang masih berbangkit.
Taktik era Najib
Bersih turut menyelar tindakan pihak berkuasa yang didakwa mengganggu wartawan penyiasatan dan melabel laporan media antarabangsa sebagai konspirasi asing.
Taktik itu menurut jawatankuasa pemandu Bersih, mengingatkan kepada pendekatan era bekas perdana menteri, Najib Razak semasa skandal 1MDB bagi mengekang laporan The Wall Street Journal.

“Bersih melihat ironi besar apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang suatu ketika dahulu mendapat sokongan teguh media antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia ketika berdepan penganiayaan politik, kini mengetuai pentadbiran yang melabel kewartawanan penyiasatan sah oleh media antarabangsa sebagai campur tangan”.
Sehubungan itu, Bersih mengulangi empat tuntutan utama:
Peletakan jawatan segera Azam Baki kerana kehadirannya terus menjejaskan reputasi SPRM.
Reformasi segera proses pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM melalui penelitian Jawatankuasa Pilihan Parlimen (JKP).
Hentikan gangguan terhadap James Chai dan wartawan, serta penggunaan "Notis Mengesan" sebagai alat memalukan secara terbuka.
Penubuhan sebuah panel bebas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semua tuduhan termasuk isu "mafia korporat" di dalam SPRM.
“Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani tidak boleh mendakwa memerangi rasuah sambil melindungi ketua penguatkuasanya daripada penelitian yang sama yang dikenakan secara terpilih terhadap pihak lain.

“Sehingga kini Kerajaan Madani tidak menunjukkan kepimpinan yang berkesan untuk menyiasat Azam Baki melalui satu badan yang bebas daripada campur tangan Eksekutif.,” katanya lagi.
