Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Felda tidak boleh lagi dilihat sebagai entiti yang terasing, sebaliknya kawasan itu mestilah dilibatkan dalam sebarang projek pembinaan dan pembangunan negara secara menyeluruh.
Berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama-sama Warga Felda hari ini, dia berkata bahawa semua kementerian dan jabatan diarah supaya tidak mengetepikan kawasan Felda dalam pelaksanaan sebarang projek atau inisiatif baharu kerajaan.
“Saya telah arahkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri supaya semua jabatan dan kementerian, jika ada projek atau apa-apa ikhtiar baharu, jangan tinggalkan Felda sebagai satu kawasan yang terasing.
“Setiap kemudahan kerajaan daripada sudut kemudahan pendidikan dan sosial, jangan tinggalkan Felda,” katanya pada majlis yang diadakan di Menara Felda di Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Felda, Ahmad Shabery Cheek.
Perdana Menteri berkata bahawa pendekatan lama yang meletakkan Felda seolah-olah mampu bergerak sendiri tanpa integrasi menyeluruh dengan dasar nasional, perlu dihentikan.
Anwar berkata bahawa dia hadir pada majlis amanat tahun ini dengan perasaan positif susulan petunjuk prestasi terkini yang menunjukkan peningkatan daripada segi pengeluaran hasil, tadbir urus, dan pelaksanaan program berteraskan kesejahteraan keluarga peneroka.
Dia mengakui bahawa Felda pernah melalui fasa sukar yang melelahkan, namun menegaskan bahawa sejarah pasang surut itu perlu dijadikan pengajaran untuk bangkit semula.
“Hal dahulu, akibat legasi, kita terpaksa menyahsenarai FGV (Holdings) (di Bursa Malaysia). Namun, keputusan yang melelahkan akibat permasalahan besar itu kini dijadikan suatu yang membina dan langkah menyahsenarai itu kini menjadi pemacu utama untuk mengangkat kedudukan Felda,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri memuji langkah pengurusan Felda yang menyepadukan agenda transformasi digital dalam operasi serta memberikan penekanan kepada inovasi, rantaian nilai, dan kemampanan.
Anwar berkata bahawa pendekatan itu selari dengan agenda nasional termasuk peralihan tenaga dan pemodenan ekonomi, namun mengingatkan bahawa asas nilai, integriti, dan akhlak mestilah terus menjadi teras.
Pada masa yang sama, dia turut mencadangkan agar sambutan ulang tahun ke-70 Felda diadakan secara besar-besaran di kawasan Felda sendiri, bukan di bandar atau dewan tertutup bagi menyemarakkan semangat warga peneroka.
Dia mahu syarikat berkaitan seperti Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) dan entiti lain dalam ekosistem Felda dilibatkan secara langsung dalam penganjuran program tersebut.

Perdana Menteri berkata bahawa dengan tekad, kesediaan bekerja sebagai satu pasukan, dan sokongan kerajaan, Felda mampu terus menjadi model pembangunan tanah yang menjadi legasi penting negara.
- Bernama
