Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang (Surplus) menegaskan pihak mereka akan tetap meneruskan rancangan mengadakan perhimpunan membantah kewujudan sebuah kuil Hindu di luar Hospital Bukit Mertajam, Sabtu ini.
Pengerusinya, Sophian Mohd Zain, berkata pihaknya tidak akan berganjak daripada pendirian tersebut demi mempertahankan isu yang disifatkannya sebagai pencerobohan tanah.
"Tiada kompromi dalam isu pencerobohan tanah," katanya dalam satu hantaran ringkas di Facebook pagi tadi.
Penegasan itu dibuat meskipun pihak polis sebelum ini telah menasihatkan kumpulan berkenaan agar tidak meneruskan perhimpunan tersebut bagi mengelakkan sebarang gangguan ketenteraman awam.
Sebelum ini, Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata kertas siasatan telah dibuka dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan bagi kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan atau kegusaran dalam kalangan orang awam atau mengganggu ketenteraman awam.
Pesalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.
Polis juga meminta orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih, berunsur provokasi atau membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum.
Azizee juga menasihati orang ramai tidak menyertai atau mengadakan sebarang perhimpunan yang boleh menimbulkan kacau ganggu atau menjejaskan ketenteraman awam masyarakat setempat.
Polis juga sedang menyiasat catatan Facebook oleh Zamri Vinoth susulan laporan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang merupakan laporan keempatnya terhadap penceramah terbabit.
Laporan terbaru Rayer itu menyentuh catatan Zamri mengenai perhimpunan merobohkan sebuah kuil kecil Hindu yang terletak berhampiran pintu masuk Hospital Bukit Mertajam (HBM) itu.
