Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Beirut digempur lagi: Israel sasar kubu kuat Hezbollah di pinggir selatan
Diterbitkan:  Mar 5, 2026 4:12 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Serangan udara Israel pada Khamis menyasarkan kawasan pinggir bandar selatan ibu negara Lubnan, Beirut, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik agensi berita rasmi Lubnan, NNA.

Dua serangan udara Israel itu menyasarkan kawasan yang dikenali sebagai kubu kuat Hizbullah di pinggir selatan ibu negara, menurut NNA.

Tentera Israel mengesahkan pihaknya mula melancarkan serangan ke atas Beirut dengan mendakwa kononnya serangan itu menyasarkan infrastruktur milik Hizbullah.

Terdahulu pada Khamis, Hizbullah menyatakan bahawa tentera Israel telah berundur selepas pertempuran dengan pejuangnya di selatan Lubnan.

Dalam kenyataan berasingan, kumpulan itu berkata mereka menyasarkan tapak ketenteraan Israel di utara Israel menggunakan sekumpulan dron.

Serang pangkalan Ein Zeitim

Hizbullah memaklumkan telah menyerang pangkalan Ein Zeitim di utara Safed dengan dron “loitering” dan turut menyasarkan kompleks industri ketenteraan Rafael di selatan Bandar Acre menggunakan dron tempur.

Situasi di Lubnan semakin meruncing pada Isnin selepas Hizbullah menyerang tapak ketenteraan di utara Israel dengan roket dan dron sebagai tindak balas terhadap serangan udara Israel yang berterusan serta pembunuhan Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei.

Tentera Israel melancarkan siri serangan udara sebagai tindak balas, mengorbankan sekurang-kurangnya 72 orang dan mencederakan hampir 450 yang lain.

Pihak tentera juga melancarkan pencerobohan darat ke selatan Lubnan.

Israel telah berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata dengan Hizbullah yang ditandatangani pada November 2024, dengan melancarkan serangan hampir setiap hari yang mengakibatkan ratusan maut dan cedera.

Israel memulakan serangannya terhadap Lubnan pada Oktober 2023 dan memuncakkannya menjadi perang berskala penuh pada September 2024, mengorbankan lebih 4,000 orang dan mencederakan kira-kira 17,000 yang lain.

OIC selar ancaman ke atas Turkiye, NATO pintas peluru berpandu Iran

Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam pelancaran peluru berpandu balistik dari Iran ke arah ruang udara Turkiye, yang dikesan dan dinyahaktifkan oleh sistem pertahanan udara dan peluru berpandu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), lapor Anadolu Ajansi.

Dalam kenyataan pada Rabu, OIC menyatakan solidariti penuh kepada Turkiye dan menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan serta kestabilan negara itu.

Setiausaha Agung OIC menyeru agar sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan dan menjejaskan kestabilan rantau dihentikan segera.

OIC menegaskan ancaman negara anggota dan melemahkan keselamatan mereka menyalahi prinsip hubungan antarabangsa berasaskan kejiranan yang baik dan saling menghormati.

Tiada kematian

Menurut Kementerian Pertahanan Nasional Turkiye, peluru berpandu itu dikesan selepas melintasi ruang udara Iraq dan Syria serta berjaya diatasi oleh pertahanan sekutu.

Sisa peluru berpandu jatuh di Daerah Dortyol, Wilayah Hatay di selatan Turkiye, tanpa sebarang kematian atau kecederaan dilaporkan.

Sebagai tindak balas diplomatik, Turkiye memanggil Duta Iran Mohammad Hassan Habibollahzadeh ke Kementerian Luar.

Semasa pertemuan berkenaan, Turkiye menyampaikan protes tegas dan kebimbangan mendalam terhadap insiden itu.

Pegawai menegaskan bahawa sebarang langkah yang berisiko meluaskan konflik dan menjejaskan kestabilan rantau harus dielakkan sepenuhnya.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS