Putrajaya mempertahankan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen bagi meneliti dan memperhalusi rang undang-undang (RUU) pengasingan peranan peguam negara (AG) dan pendakwa raya.
Pendirian itu dinyatakan susulan kebimbangan dibangkitkan oleh ahli parlimen dan pertubuhan masyarakat sivil berhubung JKPK baru tersebut, yang akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, walaupun Azalina mempengerusikan prosiding badan tersebut, segala dapatan dan syor tetap diputuskan secara kolektif oleh ahli-ahli JKPK yang terdiri daripada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
Hanya selepas itu, kata BHEU, ia dikemukakan semula kepada Dewan Rakyat.
Menurutnya, pendekatan tersebut bukanlah sesuatu yang baru dalam amalan Parlimen Malaysia.
Kata BHEU, sebelum ini ada RUU lain pernah dirujuk kepada JKPK yang dipengerusikan oleh menteri melalui usul Dewan Rakyat.
Antaranya penelitian pindaan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah pada 20 Julai 2004 yang dipengerusikan oleh Menteri di JPM ketika itu, Mohd Radzi Sheikh Ahmad, serta penelitian RUU perlembagaan berkaitan larangan ahli parlimen bertukar parti pada April 2022.
Ketika itu, katanya, JKPK dipengerusikan Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkhidmat sebagai oleh Menteri di JPM ketika itu.
Perlu renungan teliti
Pendekatan sama, menurut kenyataan itu lagi, turut digunakan bagi RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dirujuk kepada JKPK pada Ogos 2022 oleh Khairy Jamaluddin selaku menteri kesihatan ketika itu.
“Kerajaan pada masa yang sama kekal tertakluk kepada prinsip akauntabiliti parlimen sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan, iaitu jemaah menteri yang bertanggungjawab secara kolektif kepada parlimen.
“Oleh itu, proses penelitian melalui JKPK ini merupakan sebahagian daripada mekanisme semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen,” katanya.
BHEU JPM turut memaklumkan bahawa mereka bersama Jabatan Peguam Negara telah membentangkan agenda reformasi institusi berkenaan kepada JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi pada 26 Feb lalu serta kepada JKPK Semakan Undang-Undang pada 2 Mac.
Melalui JKPK baru itu, katanya, pelbagai pihak berkepentingan termasuk ahli-ahli parlimen, pakar perundangan, ahli akademik dan masyarakat sivil dijangka dijemput untuk memberikan pandangan bagi memperkukuh RUU tersebut.
Terdahulu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, menyatakan tiada seorang pun ahli parlimen PKR yang sebelum ini menekankan keperluan pindaan terhadap RUU tersebut diberi peluang menganggotai JKPK berkenaan.

Seorang lagi ahli parlimen PKR, Lee Chean Chung, yang mewakili Petaling Jaya turut menegaskan reformasi parlimen bukan sekadar berkaitan hasil, tetapi juga proses dan integriti institusi.
“Sama ada langkah ini mengukuhkan penelitian atau memberi isyarat pencerobohan terhadap kebebasan parlimen adalah persoalan yang wajar direnung secara teliti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook yang turut menyorot peranan Azalina sebagai pengerusi.
Organisasi masyarakat sivil pula menyatakan bahawa selain mekanisme kebertanggungjawaban terhadap pendakwa raya awam, beberapa isu lain turut dibangkitkan.
Antaranya proses pelantikan dan penyingkiran pendakwa raya awam, tempoh dan had perkhidmatan, umur serta persaraan, selain risiko pengaruh AG dan pendakwa raya terhadap perkhidmatan kehakiman.
