Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
7 pemain warisan Harimau Malaya tetap digantung 12 bulan
Diterbitkan:  Mar 5, 2026 8:56 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebahagiannya membenarkan rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya terhadap Persatuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) berhubung hukuman kerana memalsukan dokumen naturalisasi dan kelayakan.

Dalam keputusan operasi (tanpa alasan terperinci) yang dikeluarkan hari ini, panel CAS memutuskan bahawa tujuh pemain terbabit tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan, namun ia hanya terpakai untuk perlawanan rasmi, dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.

“Setelah meneliti bukti yang dikemukakan, panel CAS mendapati kesalahan memalsukan dokumen kelayakan telah terbukti dan penggantungan selama 12 bulan daripada perlawanan adalah hukuman yang wajar dan sepadan bagi para pemain memandangkan mereka terlibat secara bersama dalam penipuan ini,” menurut kenyataan itu.

Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Bagaimanapun, selaras dengan Artikel 22 Kod Disiplin Fifa (FDC), panel memutuskan bahawa penggantungan hanya terpakai untuk perlawanan serta semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Sehubungan itu, pemain dibenarkan menyambung latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan.

“Larangan untuk bermain perlawanan bermula hari ini, 5 Mac 2026, dengan mengambil kira tempoh dari 25 Sept 2025 hingga 26 Jan 2026 apabila penggantungan ini telah dilaksanakan secara berkesan,” katanya.

Sementara itu, panel CAS berpendapat denda sebanyak CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta) ke atas FAM oleh Fifa berhubung kes berkenaan adalah wajar, setimpal, dan kekal berkuat kuasa.

Panel CAS turut memaklumkan FAM dan pemain berkenaan telah mengemukakan rayuan bersepadu kepada mereka pada 5 Dis tahun lalu.

Dalam rayuan mereka, FAM mengakui wujudnya “kelemahan institusi” dan tidak menafikan kemungkinan badan itu bertanggungjawab terhadap pelanggaran FDC.

“Ia juga menyatakan bahawa para pemain hanya mempunyai peranan terhad dalam menyediakan dokumen yang diminta FAM serta tidak menyiapkan atau mengubah dokumen tersebut,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama CAS memberitahu, FAM merayu agar keputusan Jawatankuasa Rayuan Fifa diketepikan dan sebarang tindakan terhadap mereka dikenakan denda tidak melebihi CHF 50,000 (kira-kira RM253,000).

“Rayuan pemain pula memohon agar keputusan Jawatankuasa Rayuan Fifa dibatalkan sepenuhnya, atau – sebagai alternatif – dikenakan hukuman yang setimpal memandangkan mereka tidak bertindak dengan niat atau kecuaian,” katanya.

Rayuan tersebut dipertimbangkan secara bersama oleh Panel Arbitrasi CAS yang diketuai Lars Hilliger dari Denmark sebagai presiden bersama José Luis Andrade (Portugal) and Massimo Coccia (Itali).

Sesi pendengaran secara bersemuka berlangsung pada 26 Feb di ibu pejabat CAS di Lausanne, Switzerland.

“Ini adalah keputusan operasi (tanpa alasan penuh), dengan Award CAS penuh akan dikeluarkan kemudian,” menurut kenyataan itu.

Pada Sept lalu Fifa mengesahkan bahawa FAM dan tujuh pemain berkenaan didapati melanggar Artikel 22 FDC kerana memalsukan dokumen.

Hasil siasatan mendapati FAM telah menyerahkan dokumen yang dipercayai palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain, membolehkan mereka beraksi dalam kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Vietnam dalam perlawanan Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Kuala Lumpur pada Jun tahun lalu.

FAM kemudian diarahkan membayar denda sebanyak CH350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM11,000) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Harapan pengurangan hukuman berkecai apabila Jawatankuasa Rayuan Fifa pada 3 Nov lalu menolak rayuan FAM dan pemain, sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Disiplin berhubung pelanggaran serius Artikel 22 FDC.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS