Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NFA Zahid: AG langgar arahan pendakwaan ditetapkan pendahulunya?

Apabila Peguam Negara Dusuki Mokhtar mengisytiharkan pada 12 Jan bahawa kes rasuah membabitkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi telah “diselesaikan untuk selama-lamanya”, dia mungkin tanpa sedar telah mendedahkan kemungkinan berlakunya pelanggaran terhadap prosedur pendakwaan yang pernah ditetapkan salah seorang pendahulunya.

Perkara ini timbul selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 24 Feb memaklumkan bahawa pihaknya tidak membantah permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan pembebasan penuh daripada 47 pertuduhan rasuah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, seperti yang didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Persoalan ini tertumpu kepada Arahan Pendakwa Raya No. 2/2019, iaitu arahan yang dikeluarkan oleh Peguam Negara ketika itu Tommy Thomas pada 3 Mei 2019.

Arahan tersebut menetapkan langkah perlindungan yang ketat bagi mengelakkan penghentian prosiding jenayah secara sewenang-wenangnya. Penelitian terhadap cara Dusuki mengendalikan kes Zahid menunjukkan seperti kemungkinan pengabaian terhadap prinsip yang sebenarnya ingin dilindungi oleh arahan tersebut.

Latar belakang arahan

Sebagai konteks, Arahan Pendakwa Raya 2/2019 itu muncul selepas orang ramai berang terhadap beberapa keputusan pendakwaan yang dilihat kurang telus dan tidak konsisten.

Dalam latar belakang arahan itu, Thomas menyatakan kebimbangan bahawa beberapa kes penghentian prosiding pada waktu tersebut telah menimbulkan persoalan terhadap integriti keseluruhan sistem pendakwaan.

Perlu juga dinyatakan bahawa arahan itu, setakat masa artikel ini ditulis, boleh diakses melalui laman web rasmi Majlis Peguam Malaysia, namun ia tidak disenaraikan di laman web AGC.

‘Tujuh prinsip utama’

Arahan itu menetapkan beberapa prinsip penting.

Pertama ialah kesucian keputusan asal untuk mendakwa. Arahan tersebut menetapkan bahawa keputusan untuk mendakwa, yang pada asalnya dibuat oleh pendakwa yang diberi kuasa dari pejabat pendakwa raya, mesti diberi penghormatan dan pertimbangan sewajarnya.

Apabila seorang pendakwa raya berpuas hati bahawa wujud kes prima facie, dapatan tersebut membawa beban yang besar dalam sebarang pertimbangan seterusnya.

Prinsip kedua berkaitan perubahan keadaan yang material sebagai syarat untuk menghentikan prosiding. Arahan itu menjelaskan bahawa ketika mempertimbangkan representasi daripada pihak pembelaan, persoalan utama ialah sama ada terdapat perubahan keadaan yang ketara antara masa pertuduhan difailkan dan masa representasi dikemukakan.

Prinsip ketiga ialah perbicaraan mesti diteruskan hingga selesai setelah ia bermula. Mungkin yang paling penting, arahan itu menyatakan:

“Jika perbicaraan telah bermula dan saksi telah memberi keterangan, keputusan yang sewajarnya ialah menolak representasi tersebut dan membenarkan perbicaraan diteruskan hingga selesai.”

Rasionalnya jelas: jika kes pendakwaan tidak mempunyai merit, mahkamah sendiri akan melindungi tertuduh sama ada dengan tidak memanggil pembelaan atau dengan membebaskan tertuduh selepas pembelaan didengar.

Arahan tersebut juga menegaskan bahawa penghentian prosiding selepas perbicaraan bermula hanya boleh berlaku dalam keadaan yang sangat luar biasa.

Kronologi percanggahan

Dalam kes Zahid, kelihatan seolah-olah AGC mungkin telah melanggar arahan yang dikeluarkan oleh Thomas itu.

Zahid didakwa ketika Thomas menjadi Peguam Negara, dan perbicaraannya bermula pada 18 November 2019, tujuh bulan selepas arahan tersebut dikeluarkan.

Pendakwaan itu bukan sesuatu yang dibuat secara tergesa-gesa kerana ia dilakukan berdasarkan bukti yang menyeluruh. Sepanjang lebih 50 hari prosiding, pihak pendakwaan memanggil 99 saksi untuk memberi keterangan. Kes pendakwaan ditutup pada 19 Mac 2021.

Pada 24 Januari 2022, hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Collin Lawrence Sequerah menyampaikan keputusannya. Selepas penilaian maksimum terhadap bukti pendakwaan, dia memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan unsur kes bagi kesemua 47 pertuduhan, dan Zahid diarahkan membela diri.

Kes prima facie itu bukan kes yang tipis atau meragukan. Hakim mendapati ia terbukti bagi setiap pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Ini sebenarnya situasi yang telah dijangka oleh arahan Thomas: satu perbicaraan yang telah bermula dan saksi telah memberi keterangan secara meluas.

Menurut bahasa yang jelas dalam arahan tersebut, keadaan ini sahaja sudah cukup untuk memastikan perbicaraan mesti diteruskan hingga selesai. Tambahan pula, penemuan kes prima facie bagi semua 47 pertuduhan hanya menguatkan lagi keperluan tersebut.

Namun pada 4 September 2023, pihak pendakwaan memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dengan alasan memerlukan siasatan lanjut selepas Zahid mengemukakan surat representasi melalui peguamnya.

Kemudian pada 9 Januari 2026, Dusuki mengumumkan bahawa tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil, sekali gus menamatkan kes tersebut secara kekal.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS