PAS menyifatkan tindakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyalahkan pembangkang berhubung kegagalan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sebagai tidak tepat.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata dakwaan bahawa kegagalan itu berpunca daripada “salah faham” dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang hanyalah cubaan mengalih perhatian daripada isu sebenar dan menyerlahkan sikap “pemalas” kerajaan.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya bertanggungjawab kerana gagal memastikan kehadiran dan sokongan Ahli Parlimennya sendiri ketika sesi pengundian yang memerlukan majoriti dua pertiga anggota Dewan Rakyat.
"Percubaan lemah untuk mengheret dan mengalihkan kesalahan kepada pihak pembangkang bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi menyerlahkan sifat kebudak-budakan dan pemalas kerajaan," kata Takiyuddin dalam kenyataan.
RUU itu gagal melepasi bacaan kali kedua pada Isnin lalu selepas hanya 146 ahli Parlimen menyokong dengan kurang dua undi daripada majoriti dua pertiga (148) undi yang diperlukan. Selain itu, 44 ahli Parlimen berkecuali dan 32 lagi tidak hadir.
Fahmi kemudian berkata Kabinet dimaklumkan mengenai dakwaan “salah faham” dalam kalangan beberapa ahli Parlimen pembangkang yang percaya pengundian itu bertujuan membolehkan Anwar Ibrahim berkhidmat sebagai perdana menteri selama 10 tahun.
"Ada kalangan mereka telah beri maklum balas pada salah seorang menteri bahawa mereka ingatkan yang mereka undi pada hari itu adalah untuk memberi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM dengan tempoh berkhidmat untuk 10 tahun.
"Dan kami juga tak tahu bagaimana pihak pembangkang boleh salah faham dalam isu tersebut," katanya pada Rabu lalu.
Mengulas lanjut Takiyuddin berkata, sepanjang perbahasan di Parlimen, Ahli Parlimen pembangkang berulang kali menjelaskan bahawa sebarang cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri perlu diteliti dalam kerangka Perlembagaan yang lebih luas.
Katanya, perkara itu termasuk mengambil kira peranan serta kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik seorang Perdana Menteri yang pada pertimbangan baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.
Takiyuddin berkata, pembangkang juga mencadangkan supaya sebarang pindaan Perlembagaan berkaitan perkara itu dirujuk terlebih dahulu kepada Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja, memandangkan implikasinya terhadap peranan dan kedudukan institusi Raja-Raja.
"Apa-apa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibuat dengan teliti dan berhemah, selain mendapat sokongan konsensus yang meluas. Kegagalan kerajaan dalam isu ini adalah kegagalannya sendiri, bukan orang lain," katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata PAS kekal komited terhadap usaha reformasi yang tulen, jujur dan berhemah, selagi ia dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus serta selari dengan kehendak dan semangat Perlembagaan negara.
