GLOBAL | Penyiasat tentera Amerika Syarikat (AS) percaya terdapat kemungkinan besar serangan yang mengenai sebuah sekolah perempuan di Iran minggu lalu dilakukan oleh tentera AS namun siasatan masih berjalan dan belum mencapai kesimpulan muktamad.
Dua pegawai AS memberitahu Reuters bahawa penilaian awal siasatan menunjukkan kemungkinan pasukan AS bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, yang dilaporkan mengorbankan ratusan kanak-kanak perempuan.
Pun begitu, Reuters memaklumkan media itu tidak dapat memastikan butiran lanjut mengenai siasatan berkenaan.
Katanya, ini termasuk bukti yang membawa kepada penilaian awal berkenaan, jenis senjata yang digunakan, pihak yang melancarkan serangan atau sebab sekolah tersebut mungkin menjadi sasaran.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, pada Rabu mengakui tentera negara itu sedang menyiasat insiden berkenaan.
Dua pegawai yang bercakap kepada dengan syarat tidak dinamakan dipetik Reuters berkata kemungkinan bukti baru muncul untuk membebaskan AS daripada tanggungjawab itu juga tidak boleh diketepikan.
Sekolah perempuan di Minab, selatan Iran, dilaporkan terkena serangan pada Sabtu lalu, hari pertama operasi ketenteraan bersama AS dan Israel terhadap negara tersebut.
Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Ali Bahreini berkata serangan itu mengorbankan 150 pelajar.

Jurucakap Komando Tengah Tentera AS (Centcom), Kapten Timothy Hawkins dipetik Reuters berkata: “Tidak wajar mengulas memandangkan insiden itu masih dalam siasatan.”
Rumah Putih pula tidak mengulas secara langsung mengenai siasatan tersebut.
Ketika ditanya mengenai insiden itu dalam satu sidang media pada Rabu, Hegseth berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian itu.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dipetik Reuters berkata Washington tidak akan dengan sengaja menyasarkan sekolah.

“Jabatan Perang akan menyiasat perkara itu jika serangan tersebut dilakukan oleh kami, dan saya merujuk soalan anda kepada mereka,” kata Rubio said.
Pejabat hak asasi manusia PBB, tanpa menyatakan pihak yang dipercayai bertanggungjawab terhadap serangan sekolah tersebut, pada Selasa menyeru supaya siasatan dijalankan.
"Tanggungjawab untuk menyiasatnya terletak pada pasukan yang melancarkan serangan tersebut," kata jurucakap pejabat hak asasi manusia PBB, Ravina Shamdasani, dalam sidang media di Geneva.
Rakaman siaran televisyen kerajaan Iran pada Selasa menunjukkan upacara pengebumian mangsa pelajar perempuan tersebut.
Keranda kecil mereka dibaluti bendera Iran dan diusung dari sebuah trak merentasi lautan orang ramai menuju ke kawasan perkuburan.
