Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Tak adil tuduh SPRM jadi alat politik kerajaan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi alat politik kerajaan sebagai tidak adil dan dibuat tanpa meneliti laporan berkaitan terlebih dahulu.

Beliau berkata sebarang tuduhan perlu dibuat secara bertanggungjawab dan berdasarkan fakta, bukannya mengikut sentimen atau “selera politik”.

“Itu pandangan Bersih, tetapi tidak adil (untuk) Bersih tidak membuat kenyataan yang bersih. Nak buat tuduhan, tunggu laporan dahulu kemudian bagi jawapan (buat keputusan). Jangan pakai sergah begitu sahaja,” kata beliau kepada media selepas menghadiri Program Ihya’ Ramadan di Jabatan Perkhidmatan Awam di Putrajaya, hari ini.

Anwar berkata beliau tidak mempertahankan mana-mana individu, namun menegaskan kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa berkaitan dan perkara itu juga berada di bawah penelitian pihak berkuasa termasuk Peguam Negara.

“Saya tidak pertahankan tetapi kita sudah ada jawatankuasa dan saya percaya kepada Peguam Negara. Kita tunggu laporan dan jawapan terlebih dahulu.

“Ini belum terima laporan, sudah tuduh ikut selera politik. Itu yang saya katakan sebagai selera politik. Janganlah… lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini, kita menyerang orang tanpa mendapatkan maklumat terlebih dahulu,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata semua pihak berhak mengkritik termasuk terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, namun ia perlu dibuat secara konsisten dan berasaskan fakta.

“Kita boleh kritik sesiapa pun termasuk saudara Azam Baki tetapi biar konsisten. Yang dicuri dalam negara ini sudah mencecah puluhan bilion dan perkara itu sudah terdedah, tetapi dahulu apabila berlaku kecurian berpuluh bilion, kenapa tidak ada suara?” kata beliau.

Anwar berkata isu rasuah perlu ditangani secara serius dan tidak dipolitikkan demi kepentingan tertentu.

Terdahulu, Bersih dalam satu kenyataan mengecam hala tuju SPRM yang didakwa semakin terpesong daripada mandat asal untuk membanteras rasuah.

Jawatankuasa Pemandu Bersih mendakwa agensi penguatkuasaan itu kini dilihat menjadi alat intimidasi politik dan merujuk kepada tindakan terbaharu melibatkan James Chai, seorang warganegara dan bekas pegawai kepada bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Turut hadir pada program hari ini ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS