mk-logo
Berita
Lembaga Pengarah SRC percaya arahan, nasihat Najib - saksi
Diterbitkan:  Mar 6, 2026 4:45 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa lembaga pengarah SRC International Sdn Bhd percaya arahan atau nasihat daripada Datuk Seri Najib Razak bertujuan untuk kebaikan negara selain demi kepentingan terbaik syarikat.

Bekas pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail, 61, menyatakan demikian kerana Najib memegang tiga jawatan pada waktu berkenaan iaitu Penasihat Emeritus SRC, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika disoal oleh peguam Lee Suan Cui pada perbicaraan saman sivil RM42 juta yang difailkan terhadap Najib oleh SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Lee: Dalam pernyataan saksi, anda menyatakan bahawa SRC merupakan sebuah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan untuk melaksanakan pelaburan yang dirancang oleh kerajaan, betul? Dan itu juga merupakan sebab khusus mengapa lembaga pengarah akan melaksanakan resolusi pemegang saham?

Ismee: Betul.

Ismee seterusnya bersetuju bahawa beliau memberi penekanan terhadap tiga peranan yang dipegang oleh defendan (Najib) kerana Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) SRC memberikan kuasa tertinggi kepada jawatan Penasihat Emeritus dan Perdana Menteri.

Beliau juga mengesahkan bahawa Artikel 117 dalam M&A SRC menghendaki lembaga pengarah memberi pertimbangan sewajarnya serta melaksanakan nasihat daripada Penasihat Emeritus, tanpa memberi sebarang ruang kepada pengarah untuk menolak nasihat tersebut.

Ismee turut bersetuju dengan peguam bahawa pengarah SRC tidak berada dalam kedudukan untuk mengabaikan nasihat tersebut, kerana mereka tidak memegang jawatan eksekutif dalam kerajaan.

SRC dan Gandingan Mentari, yang memfailkan saman tersebut pada 2021, memohon satu pengisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab terhadap dana berjumlah RM42 juta serta menuntut ganti rugi atas dakwaan penerimaan secara sedar, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam, dan penyalahgunaan kuasa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan akan bersambung pada 16 Mac.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS