Khairy Jamaluddin menyatakan hasrat untuk kembali menyertai Umno susulan pengumuman Presidennya Ahmad Zahid Hamidi yang "membuka pintu seluas-luasnya" kepada bekas ahli yang pernah digantung atau dipecat.
Bekas menteri kesihatan itu menyambut baik pelawaan tersebut dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang telah lama dinantikan.
"Tetapi bila dah diundang begitu, saya dah lama sebut bahawa saya ingin kembali ke Umno. Saya lihat ini sebagai satu perkembangan yang positif dan peluang yang murni secara peribadi.
"So boleh lah start draf (surat), Bobby (setiausaha akhbar) saya nak tengok surat tu,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook Keluar Sekejap.

Semalam, Zahid memaklumkan Umno membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian, serta mana-mana individu yang ingin kembali bersama dalam perjuangan parti tersebut.
Presiden Umno berkata langkah itu diambil selaras dengan semangat Ramadan yang menekankan rahmat dan keampunan, sekali gus memberi ruang kepada semua pihak untuk melupakan perbezaan lalu dan membuka lembaran baru dalam usaha memperkukuh kembali kekuatan Umno.
Dia turut berkata Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses berkenaan melalui tatacara bersesuaian menurut Perlembagaan parti.
“Semoga usaha ini dipermudahkan oleh Allah Subhanahuwataala dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan kelangsungan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air, serta memastikan masa depan lebih baik untuk rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan.
