Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis perlu masa lengkapkan siasatan kes ideologi keganasan - Saifuddin

Polis memerlukan tempoh lebih panjang untuk melengkapkan siasatan kes penahanan enam remaja lelaki termasuk tiga di bawah umur kerana disyaki terbabit dalam aktiviti berorientasikan ideologi kumpulan pengganas Daesh baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata walaupun mungkin ada pihak mendesak prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak digunakan ke atas mereka, namun dalam konteks keganasan siasatan menyeluruh perlu dilakukan.

“Tentunya tindakan polis itu mengundang beberapa kritikan terutama daripada kelompok yang menggelar diri pejuang hak asasi yang menyentuh bahawa mereka yang ditangkap dikatakan bawah umur.

“Jadi mereka mendesak tidak digunakan SOSMA ke atas suspek yang telah dikenal pasti polis. Jadi dalam konteks ancaman keselamatan terutama yang berkaitan keganasan tentu polis memerlukan tempoh lebih panjang untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2026 di Kulim malam tadi.

Beliau berkata jika kes itu melibatkan gerakan di negara jiran, polis perlu menghubungi pihak berkuasa negara berkenaan untuk mengesahkan maklumat dan melakukan pemprofilan.

Proses itu tidak boleh dilakukan dalam tempoh hanya dua atau tiga hari walaupun suspek berusia 17 atau 18 tahun.

Saifuddin Nasution berkata melalui siasatan awal dan hasil maklumat daripada peranti milik suspek, polis mendapati pada usia tersebut mereka tahu risiko keterlibatan dengan aktiviti keganasan.

“Saya meletakkan kepercayaan penuh pada polis yang telah menjalankan intipan, risikan sekian lama dan hanya melakukan penangkapan sejak seminggu dua (lepas). Mereka masih meneruskan siasatan dan kemudian tetap dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata penahanan semua suspek susulan risikan teliti dijalankan sekian lama oleh Cawangan Khas melalui pemantauan rapi termasuk terhadap aktiviti di media sosial dan pelbagai platform aplikasi dalam talian.

Selain itu, Saifuddin Nasution berkata siasatan mendapati terdapat kaedah baharu penyebaran ideologi keganasan yang diselitkan dalam pelbagai medium termasuk permainan dalam talian yang secara tidak langsung mendedahkan pengguna kepada fahaman ekstrem.

Pengaruh ideologi itu boleh mendorong individu tertentu menyokong atau menyertai gerakan berorientasikan keganasan apabila mereka merasakan realiti dunia semasa bercanggah dengan fahaman yang diperoleh melalui kandungan media sosial.

Keadaan itu, menurut beliau sangat berbahaya kepada Malaysia yang merupakan negara berbilang kaum, agama dan budaya yang telah lama hidup aman serta harmoni walaupun terdapat perbezaan pandangan.

Semalam, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata polis melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi kumpulan pengganas Daesh di negara ini dengan penahanan enam remaja termasuk tiga di bawah umur menerusi operasi khas baru-baru ini.

Beliau berkata suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun ditahan dalam operasi dilancarkan oleh Cawangan Khas selama dua hari bermula 14 Feb di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS