Iran mengumumkan akan menghentikan serangan terhadap negara-negara jiran melainkan serangan dilancarkan ke atasnya dari wilayah mereka, ketika ketegangan di Timur Tengah memasuki hari kelapan pada Sabtu.
Memetik laporan Anadolu Ajansi yang merujuk kepada saluran berita Press TV milik Kerajaan Iran, Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata Tehran akan mengelak daripada menyerang negara jiran kecuali jika serangan terhadap Iran berpunca dari negara-negara berkenaan.
“Majlis pimpinan sementara mengumumkan semalam bahawa tidak akan ada lagi serangan ke atas negara jiran dan tiada pelancaran peluru berpandu kecuali serangan terhadap Iran bermula dari negara berkenaan,” katanya dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen kepada rakyat Iran pada Sabtu.
Pezeshkian turut memohon maaf kepada negara-negara jiran berikutan ketegangan serantau yang semakin meningkat, sambil menegaskan bahawa Iran "tidak mempunyai niat untuk menceroboh negara lain".
Bagaimanapun, beliau menolak jangkaan bahawa Iran akan menyerah kalah tanpa syarat, dengan menyatakan bahawa mereka yang menaruh harapan sedemikian "akan membawa impian mereka ke liang lahad".
Dalam perkembangan berkaitan, Iran menafikan laporan bahawa ia telah menutup Selat Hormuz, laluan perkapalan global yang kritikal bagi bekalan minyak dunia.

Timbalan Menteri Luar Iran Saeed Khatibzadeh semasa persidangan antarabangsa di New Delhi berkata, Tehran tidak menutup laluan air itu dan tidak mempunyai rancangan segera untuk berbuat demikian, sambil menambah sebarang keputusan untuk menutup selat itu akan diumumkan secara rasmi.
Televisyen kerajaan Iran turut melaporkan selat itu kekal dibuka, walaupun sumber tentera memberi amaran bahawa kapal-kapal milik Amerika Syarikat (AS) atau Israel boleh dianggap sebagai sasaran tentera.
Perkembangan terbaharu ini menyusul selepas peningkatan ketegangan pada 28 Feb apabila Israel dan AS melancarkan serangan ke atas Iran. Sebagai tindak balas, Tehran menyerang Israel dan pelbagai lokasi di negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.
Sejak itu, siri berbalas serangan ketenteraan dan pemintasan pertahanan udara terus berlaku di seluruh Timur Tengah.
Beberapa serangan itu mengakibatkan kemalangan jiwa serta kerosakan infrastruktur awam termasuk pelabuhan dan bangunan kediaman, lapor Anadolu Ajansi.
Tehran menyatakan serangan itu adalah tindak balas terhadap kempen ketenteraan bersama AS-Israel yang mengorbankan beratus-ratus orang, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei dan beberapa pegawai kanan tentera.
Sementara itu, Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan pasukannya telah menyerang lebih 3,000 sasaran di Iran dalam minggu pertama kempen ketenteraan yang dikenali sebagai “Operation Epic Fury”.
Di seluruh rantau Teluk, beberapa negara melaporkan tindakan pertahanan udara yang besar ketika mereka memintas dron dan peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran.
Arab Saudi menyatakan sistem pertahanan udaranya memusnahkan 23 dron dan tiga peluru berpandu balistik, manakala Qatar melaporkan berjaya meneutralkan sembilan daripada 10 dron serangan Iran.
Angkatan Tentera Kuwait turut memintas 12 dron dan 14 peluru berpandu, dengan bunyi letupan yang kedengaran di seluruh negara itu dikaitkan dengan pengaktifan sistem pertahanan udaranya. Pihak berkuasa memaklumkan kejadian itu hanya mengakibatkan kerosakan material disebabkan serpihan yang jatuh.
Di tempat lain, empat dron ditembak jatuh di ruang udara Bandar Erbil di Wilayah Kurdistan Iraq, menurut Agensi Berita Emiriah (WAM).
Di Lubnan, sekurang-kurangnya 16 orang terkorban manakala 35 yang lain cedera dalam serangan udara Israel di Lembah Bekaa di timur negara itu, lapor Anadolu Ajansi memetik Kementerian Kesihatan Lubnan.
Serangan itu menyasarkan Bandar Nabi Chit di Baalbek, sementara pertempuran dilaporkan berlaku di sepanjang timur banjaran gunung berhampiran sempadan Lubnan-Syria.
Sementara itu, AS terus memperkukuh kehadiran tenteranya di rantau berkenaan. Institut Tentera Laut AS melaporkan kapal pengangkut pesawat USS Gerald R. Ford telah tiba di Laut Merah melalui Terusan Suez dengan diiringi kapal pemusnah dengan peluru berpandu USS Bainbridge.
Dengan ketibaannya, AS kini mempunyai dua kapal pengangkut pesawat beroperasi di perairan berhampiran, selain kapal USS Abraham Lincoln yang sekarang ini berada di Laut Arab sementara kapal pengangkut pesawat USS George H.W. Bush dilaporkan sedang bersiap sedia untuk dikerahkan ke timur Mediterranean.
Konflik yang semakin meruncing ini turut mengganggu perjalanan dan mencetuskan usaha beberapa negara termasuk Malaysia untuk membawa pulang rakyat masing-masing.
Duta Besar Malaysia ke Qatar, Mohd Faizal Razali berkata setakat ini seramai 323 rakyat Malaysia di Qatar telah mendaftar untuk menyertai langkah pemindahan sukarela yang dianjurkan oleh Kerajaan Malaysia, setakat ini.
Pelan itu melibatkan pengangkutan bas dari Doha ke pintu sempadan Abu Samra sebelum memasuki Arab Saudi melalui sempadan Salwa untuk meneruskan perjalanan ke Riyadh. Dari sana, penerbangan khas ke Kuala Lumpur dijangka berlepas awal minggu depan.
- Bernama
