mk-logo
Berita

Balai Seni Negara buat pertama kali melaksanakan proses konservasi karya seni secara terbuka yang membolehkan orang awam menyaksikan sendiri secara langsung.

Acara sulung sejak 67 tahun penubuhannya itu sebelum ini hanya dijalankan secara tertutup dalam makmal.

Ketua Kurator Kanan Seksyen Koleksi dan Konservasi di Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) Tan Hui Koon berkata pendekatan itu diambil bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga warisan seni visual negara.

Hanya sekeping lukisan terlibat dalam proses itu, iaitu Imitation Master – Legacy oleh Ali Nurazmal Yusoff, seniman yang terkenal dengan karya klasik realisme dengan suntikan element tempatan.

Kerja-kerja konservasi terhadap karya cat minyak atas kanvas bersaiz 365cm x 304cm itu bermula 24 Februari hingga 15 Mac 2026.

Menurut Tan, karya Ali Nurazmal merupakan perolehan baru dan tidak begitu mengalami kerosakan yang serius dari segi struktur dan lapisan cat. 

Mereka lebih memfokuskan kepada pembersihan terkawal bagi menghilangkan habuk dan deposit pada permukaan karya.

Tan Hui Koon

Tambahnya walaupun kerja konservasi boleh diselesaikan dalam tempoh singkat di makmal, dia memilih untuk melaksanakannya di ruang galeri selama kira-kira tiga minggu bagi memberi peluang kepada pelawat memahami setiap langkah yang diambil.

“Inisiatif ini adalah platform pendidikan. Pelawat bukan sahaja melihat hasil akhir sesebuah karya, tetapi turut memahami usaha di sebalik penjagaannya,” katanya ketika ditemui Malaysiakini baru-baru ini.

Tan berkata inisiatif tersebut timbul susulan beberapa insiden pelawat menyentuh karya seni tanpa kebenaran. 

Dia menegaskan sentuhan tangan boleh memindahkan bakteria, habuk dan bahan lain yang berpotensi merosakkan permukaan karya.

Setakat seminggu proses konservasi berlangsung, Tan menyifatkan penerimaan pelawat sebagai amat positif.

“Ramai yang teruja dan timbul rasa ingin tahu. Mereka berhenti, memerhati dan bertanya. Impak visual karya yang bersaiz besar turut menarik perhatian,” katanya.

Kesedaran awam

Tambah Tan, membuka proses konservasi kepada umum bukan sahaja memperlihatkan dedikasi pasukan konservator, malah mengukuhkan kesedaran bahawa karya seni dalam koleksi negara adalah khazanah yang memerlukan komitmen bersama untuk dipelihara.

“Melalui pendedahan ini, kami berharap pelawat lebih memahami bahawa menjaga karya seni bukan sesuatu yang mudah. Setiap karya memerlukan penelitian dan penjagaan yang rapi,” katanya.

Setakat Januari 2026, sebanyak 12 karya dijalankan konservasi kuratif, 49 karya telah dijalankan konservasi preventif dan sebanyak 77 buah karya telah dijalankan pemeriksaan fizikal karya.

Tan menjelaskan bahawa konservasi merupakan langkah-langkah yang diambil untuk memanjangkan jangka hayat sesuatu objek, khususnya warisan budaya seperti koleksi seni.

“Selalunya apabila orang mendengar perkataan konservasi, mereka membayangkan sekadar kerja ‘mencuci’ karya. Hakikatnya, proses ini merupakan rawatan yang melibatkan sains, penelitian dan kemahiran teknikal mendalam untuk menstabilkan karya,” katanya.

Dia memaklumkan bahawa konservasi terbahagi kepada dua pendekatan utama iaitu preventif (pencegahan) dan kuratif (pemulihan). 

Konservasi preventif melibatkan penyimpanan karya dalam ruang terkawal dari segi suhu, kelembapan dan pencahayaan untuk mengelakkan kerosakan, manakala konservasi kuratif pula melibatkan rawatan langsung pada karya yang mengalami kerosakan atau ketidakstabilan material.

“Sebagai institusi yang menguruskan koleksi seni negara, kami bertanggungjawab memastikan karya-karya ini berada dalam keadaan baik. Kami menguruskan pelbagai medium termasuk catan, arca, cetakan, fotografi, instalasi dan media baharu,” katanya.

Menurutnya, faktor kerosakan lazimnya berpunca daripada persekitaran fizikal yang tidak terkawal, serangan biologi dan kecuaian manusia serta reaksi bahan kimia yang digunakan oleh artis sendiri, khususnya artis kontemporari yang gemar bereksperimen dengan bahan industri.

“Bahan industri lazimnya mempunyai tahap keasidan yang tinggi. Lama-kelamaan, sifat asidik itu boleh merosakkan kanvas atau komponen lain,” katanya.

Selain itu, katanya, faktor kelembapan iklim tropika juga menyumbang kepada pertumbuhan kulat serta kehadiran serangga perosak.

Tambahnya, tempoh konservasi juga berbeza bergantung kepada beberapa faktor seperti jumlah unit objek dalam satu karya, jenis bahan yang digunakan serta tahap kerosakan.

“Ada karya yang mengandungi banyak unit objek kecil dalam satu komposisi, jadi prosesnya lebih rumit dan mengambil masa. 

“Malah dalam keadaan tertentu, bahan rawatan perlu diimport atau peralatan khas perlu diubah suai mengikut saiz dan bentuk karya,” jelasnya.

Tambahnya, faktor saiz turut memainkan peranan penting kerana karya berskala besar memerlukan perancangan teknikal dan logistik yang lebih teliti. 

Sebagai contoh, projek konservasi mural oleh seniman veteran Ibrahim Hussein di bangunan bilik persalinan sukan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 2011 hingga 2012 yang mengambil masa kira-kira lima hingga enam bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

Sepanjang tahun 2025, sebanyak 658 karya diperiksa secara fizikal dan daripada jumlah itu 366 buah dikonservasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS