Pendakwah bebas, Zamri Vinoth mendakwa dia diserang sekumpulan individu dalam satu kejadian semalam.
Menerusi hantaran di Facebook, Zamri berkata, kumpulan itu melakukan serangan secara hendap, namun dia sempat menyelamatkan diri.
“Mereka bawa kayu, batu dan buat percubaan untuk pukul. Alhamdulillah mereka baling batu pecah cermin kereta.
“Pondan…berani hanya bila hendap beramai. Sebab itulah saya kata mereka ini tak layak diberi muka. Mereka dah mula mencabar kita,” katanya dalam hantaran terbabit.
Zamri turut berkongsi gambar memaparkan keadaan cermin kereta bahagian penumpang pecah akibat dilempar batu.

Sementara itu, portal Malaysiagazette melaporkan seorang pekerja kilang direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam hari ini, bagi membantu siasatan kes khianat harta benda dan ugutan terhadap Zamri.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 20 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Muhammad Shahrul Aiman Kamalrulzaman bermula hari ini sehingga Rabu depan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 427 akta sama.
Suspek tiba di mahkamah dengan diiringi anggota polis kira-kira jam 9.45 pagi dengan memakai pakaian lokap polis berwarna oren.
Portal itu melaporkan suspek merupakan pemilik motosikal yang tular dalam rakaman video menunjukkan kejadian serangan terhadap Zamri.
Susulan itu, suspek ditahan semalam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.
