Lapan belas tahun selepas Pilihan Raya Umum 2008 di Malaysia, yang digelar “tsunami politik”, Chang Lih Kang berkata agenda reformasi hasil daripada gerakan reformasi masih berjalan.
Bercakap dalam temu bual dengan Oriental Daily, naib presiden PKR itu berkata, tindakan menggambarkan usaha reformasi kerajaan sekarang sebagai “reformati” adalah keterlaluan.
“Anda mungkin rasa reformasi ini tidak cukup kuat atau lambat. Tapi memanggilnya ‘reformati’ memang keterlaluan,” katanya.
Hari ini menandakan ulang tahun ke-18 Pilihan Raya Umum 2008, yang menyaksikan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen buat pertama kali dan melepaskan cengkaman ke atas Pulau Pinang, Kedah, Perak, dan Selangor, selain gagal menawan Kelantan yang dikuasai PAS.
Keputusan itu dianggap sebagai titik perubahan dalam landskap politik Malaysia yang lama dikuasai BN dan membuka jalan kepada perubahan kerajaan persekutuan pada 2018 serta kerajaan perpaduan sekarang selepas pilihan raya 2022.
Chang, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata keputusan pada 2008 itu bukan berlaku secara tiba-tiba, tetapi merupakan kemuncak daripada rungutan rakyat yang berpanjangan.

“Isu-isu ini telah wujud sejak 1999. Tsunami politik 2008 adalah hasil daripada apa yang telah terbuku sejak sekian lama,” katanya.
Chang mula bertanding pada 2008 ketika berusia 28 tahun dan menjadi Adun di Perak selepas pembangkang mengambil alih kerajaan negeri.
Dia berkata tanda-tanda awal ketidakpuasan hati rakyat muncul semasa pilihan raya 1999, selepas pemecatan dan penahanan Anwar Ibrahim oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, yang mencetuskan gerakan reformasi.
Chang berkata BN bangkit semula dengan kemenangan besar pada pilihan raya 2004 di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi, namun gabungan itu gagal menyelesaikan rungutan yang kemudian “meletup” pada pilihan raya umum 2008.
Mengimbas kembali, dia berkata episod itu menjadi peringatan kepada kerajaan bahawa isu rakyat yang tidak diselesaikan boleh mencetuskan reaksi dalam pilihan raya.
“Sebarang kesilapan boleh menjadi pencetus kekalahan dalam pilihan raya,” katanya.

Chang menambah, reformasi mengambil masa dan mungkin melibatkan “dua langkah ke hadapan dan satu langkah ke belakang”, terutamanya bagi kerajaan sekarang di bawah kepimpinan Anwar yang baru lebih tiga tahun mentadbir.
Tegasnya usaha seperti memperkukuh pengawasan Parlimen terhadap eksekutif, penguatkuasaan antirasuah, dan memberi kewarganegaraan kepada anak-anak yang lahir di luar negara daripada ibu warga Malaysia adalah contoh pencapaian.
Menurutnya, ini adalah reformasi institusi penting yang memberi impak jangka panjang.
Sokongan di bandar dan pengundi Cina bukan lagi jaminan
Chang juga mengingatkan bahawa sokongan daripada pengundi bandar dan pengundi Cina tidak boleh dipandang mudah.
Dia berkata keputusan pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini menunjukkan pengundi tidak lagi secara automatik menyokong Pakatan Harapan.
“Jika prestasi kami lemah, kami masih boleh dikalahkan, dan kerusi boleh bertukar tangan,” katanya.
Mengimbas semula kejutan pilihan raya umum 2008, dia menyebut bagaimana parti komponan BN, Gerakan – yang mentadbir Pulau Pinang selama 18 tahun – runtuh dalam satu malam dan hilang kerajaan negeri.

Chang berkata jika sokongan pengundi Cina di Semenanjung lemah – sama ada sokongan berkutang atau kadar keluar mengundi yang rendah – banyak kerusi yang kini dimiliki PKR tidak lagi selamat.
PKR kebanyakannya bertanding di kawasan campuran yang memerlukan sokongan pelbagai kaum untuk menang. Banyak kerusi ini sebelum ini adalah kubu BN, dan jika mana-mana komuniti tidak berpuas hati, ia boleh mencetuskan kesan domino, dan parti itu boleh kehilangan kerusi demi kerusi.
Chang memberi contoh kawasannya sendiri, Tanjong Malim, di mana pengundi Melayu kira-kira 57 peratus, Cina 25 peratus, India lebih 10 peratus, dan Orang Asli sekitar 6 peratus. Dia menang kerusi itu pada pilihan raya lalu dengan majoriti lebih 3,000 undi daripada kira-kira 69,000 undi.
Keseimbangan kaum
Chang menegaskan PKR mesti mengekalkan pendekatan berbilang kaum dan mengelak menjadikan isu perkauman sebagai “zero sum game”.
“Sesetengah parti boleh memanjangkan isu perkauman kerana dibina untuk satu-satu komuniti. Tapi PKR berbeza – asas kita berbilang kaum,” katanya.

Disebabkan itu, penyelesaian yang dicadangkan parti kadang-kadang kelihatan sederhana atau tidak sempurna, tetapi ia bertujuan mencari keseimbangan yang diterima oleh semua komuniti.
Dia menambah kerajaan telah mempercepat beberapa inisiatif reformasi, dengan Anwar mengumumkan rancangan tahun ini termasuk had dua penggal bagi perdana menteri, pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya, Akta Kebebasan Maklumat, dan penubuhan institusi ombudsman.
Pengundi kali pertama
Mengenai trend pengundi, Chang berkata sokongan Melayu menunjukkan peningkatan sedikit dalam kalangan penjawat awam dan pasukan keselamatan akibat “kesan incumbency”.
Namun, dia mengakui sokongan di kawasan Melayu luar bandar tradisional masih tidak banyak berubah.
“Kumpulan yang benar-benar kami tidak fahami ialah pengundi kali pertama berumur 18 hingga 20 tahun. Itu masih misteri besar,” katanya.
Walaupun pengundi bandar dan Cina cenderung menyokong PKR dan DAP sejak 2008, dia berkata data mengenai pandangan pengundi kali pertama berumur 18 hingga 20 tahun masih sedikit.
“Jika ditanya sama ada kami yakin mendapat sokongan mereka, saya tidak boleh pasti.
“Kami masih belum cukup faham kumpulan ini dan perlu lebih usaha untuk memahaminya,"katanya.
Dengan beberapa Dewan Undangan Negeri hampir tamat tempoh – Melaka tahun ini, serta Sarawak dan Johor pada 2027 – Chang berkata perbincangan mengenai kerjasama pilihan raya dalam kerajaan perpaduan masih berjalan.
Dia sendiri menyokong pilihan raya negeri dan persekutuan diadakan serentak kerana ia memberi fleksibiliti lebih kepada parti dalam rundingan pembahagian kerusi dan mengelak situasi sekutu bertanding menentang satu sama lain.
“Tapi perkara ini masih perlu dibincangkan oleh semua pihak,” katanya.
