Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siapakah Mojtaba Khamenei, pemimpin agung baru Iran?
Diterbitkan:  Mar 9, 2026 10:24 AM
Dikemaskini: 2:24 AM

Mojtaba Khamenei, anak lelaki kepada Allahyarham Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, telah lama dianggap sebagai calon utama bagi jawatan pemerintah tertinggi negara itu — malah sebelum serangan Israel yang membunuh bapanya pada awal perang minggu lalu.

AFP melaporkan diplomat Amerika Syarikat (AS) selama beberapa dekad merujuk Khamenei muda itu sebagai "kuasa di sebalik jubah" meskipun dia merupakan watak yang penuh rahsia dalam Republik Islam tersebut.

Mojtaba Khamenei tidak kelihatan di khalayak ramai sejak 28 Feb, apabila serangan udara Israel yang menyasarkan pejabat pemimpin agung sehingga mengorbankan bapanya yang berusia 86 tahun serta isterinya, Zahra Haddad Adel.

Dia berkemungkinan telah bersembunyi ketika serangan udara AS dan Israel terus menggempur Iran, walaupun media kendalian kerajaan Iran tidak melaporkan keberadaannya.

Dengan bapa dan isterinya dianggap sebagai syuhada oleh golongan tegar dalam perang menentang AS dan Israel, kedudukan Khamenei muda dilihat semakin meningkat di mata ulama veteran dalam Majlis Pakar yang dianggotai 88 ahli, yang ditugaskan untuk memilih pemimpin negara.

Pemimpin agung Republik Islam merupakan nadi kepada teokrasi Syiah yang mengamalkan perkongsian kuasa yang kompleks dan mempunyai kata putus dalam semua urusan negara. Dia juga berkhidmat sebagai panglima tertinggi tentera negara serta pasukan separa tentera Pengawal Revolusi.

Selaku pemimpin agung seterusnya, dia bakal mengawal tentera Iran dan simpanan uranium yang diperkaya tinggi yang boleh digunakan untuk membina senjata nuklear — sekiranya memilih untuk berbuat demikian.

Mojtaba Khamenei juga akan mengambil alih kuasa di tengah-tengah perang AS-Israel yang bertujuan menghapuskan ancaman nuklear dan kuasa tentera Iran, selain berharap rakyat Iran akan bangkit memberontak terhadap teokrasi negara itu.

Dinasti teokrasi

Pelantikan Mojtaba Khamenei berlaku di sebalik paradoks potensi kewujudan dinasti teokrasi yang memerintah sebuah republik, sedangkan republik itu sendiri dibina atas dasar menentang sistem monarki warisan dinasti Pahlavi sebelum ini.

Calon lain bagi jawatan kepimpinan itu termasuk Alireza Arafi, ahli triumvirat yang bertindak sebagai pemimpin interim baru-baru ini, serta Mohammad Mehdi Mirbagheri, wakil sayap paling konservatif dalam kalangan ulama Syiah, dan Hassan Khomeini, cucu kepada Ruhollah Khomeini.

Dilahirkan pada tahun 1969 di bandar Mashhad, kira-kira 10 tahun sebelum Revolusi Islam 1979 yang mengubah Iran, Mojtaba Khamenei membesar ketika bapanya sedang giat menentang Shah Mohammad Reza Pahlavi.

Selepas kejatuhan Shah, keluarga Khamenei berpindah ke Tehran, ibu kota Iran.

Mojtaba Khamenei pernah bertempur dalam perang Iran-Iraq bersama divisyen Pengawal Revolusi Iran, dengan beberapa rakan seperjuangannya kemudian naik pangkat ke jawatan risikan yang berkuasa dalam pasukan itu — berkemungkinan dengan sokongan keluarga Khamenei.

Selepas bapanya menjadi pemimpin agung pada 1989, Mojtaba Khamenei dan keluarganya segera mendapat akses kepada berbilion dolar dan aset perniagaan yang tersebar di banyak bonyad atau yayasan di Iran, yang dibiayai daripada industri negara dan kekayaan lain yang pernah dipegang oleh Shah.

Kuasanya meningkat seiring dengan bapanya, bertugas di tengah-tengah pejabat "Beyt" pemimpin agung di pusat bandar Tehran sebagai "gabungan pembantu peribadi, orang kepercayaan, penjaga kuil, dan pencatur kuasa (kingmaker)", menurut United Against Nuclear Iran, sebuah organisasi yang berpangkalan di AS.

"Terdapat sangat sedikit ketelusan dalam apa yang dilakukan oleh 'Beyt', dan tindakannya berasaskan banyak permainan kuasa dan naungan," kata Jonathan Piron, ahli sejarah yang pakar mengenai Iran untuk pusat penyelidikan Etopia di Brussels, kepada France 24 pada 2022.

"Mojtaba Khamenei tidak pernah dipilih; beliau dilantik ke jawatan ini oleh bapanya, yang mahu dikelilingi oleh penyokong paling setianya. Pengkritik menganggap beliau sebagai tokoh korup yang mendapat manfaat daripada kedudukannya di teraju Pejabat Pemimpin Agung kerana beliau adalah anak kepada Ali Khamenei."

Pengkritik Khamenei juga mengecam kekurangan pengetahuan teologinya kerana beliau hanya memegang gelaran "hojatoleslam" — pangkat pertengahan dalam ulama Syiah.

Mengikut perlembagaan Iran, akses kepada jawatan tertinggi memerlukan pangkat ayatollah marja (atau "sumber ikutan"), menjadi ketua seminar, dan membuktikan pengalaman mengajar agama selama bertahun-tahun.

Seorang 'pemimpin yang tegas'

Semasa pemerintahan bapanya, Khamenei menggunakan kedekatannya dengan kepimpinan untuk mengumpul kuasanya sendiri.

Kabel diplomatik AS yang diterbitkan oleh WikiLeaks pada akhir 2000-an membayangkan bahawa beliau berkhidmat sebagai "penjaga pintu utama" bapanya dan telah membentuk pangkalan kuasanya sendiri di dalam negara.

Khamenei "dilihat secara meluas dalam rejim sebagai pemimpin dan pengurus yang berkemampuan serta tegas yang mungkin suatu hari nanti akan mewarisi sekurang-kurangnya sebahagian daripada kepimpinan nasional; bapanya juga mungkin melihatnya dalam perspektif yang sama", menurut kabel tahun 2008, yang turut mencatatkan kekurangan kelayakan teologi dan faktor usianya.

"Walau bagaimanapun, Mojtaba, berdasarkan kemahiran, kekayaan, dan pakatan yang tiada tandingan, dilaporkan dilihat oleh beberapa orang dalam rejim sebagai calon yang munasabah untuk kepimpinan bersama Iran selepas kematian bapanya, sama ada kematian itu berlaku dalam masa terdekat atau tahun-tahun akan datang," katanya.

Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atasnya pada 2019 semasa penggal pertama Presiden AS Donald Trump kerana berusaha "memajukan cita-cita serantau bapanya yang menggugat kestabilan serta objektif domestik yang menindas".

Baru-baru ini, Khamenei bekerjasama rapat dengan Pengawal Revolusi Iran yang menindas sekeras-kerasnya protes di seluruh negara pada Januari lalu, menurut Jabatan Perbendaharaan AS.

Siasatan Bloomberg yang diterbitkan pada akhir Januari mendapati dia telah membina rangkaian pelaburan rahsia dan menguntungkan yang luas melalui pemerolehan hartanah yang dibuat melalui syarikat cengkerang di London, Frankfurt dan Dubai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS