Peguam utama bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, mendakwa semua pertuduhan jenayah terhadap anak guamnya adalah kabur dan dibuat dengan niat tidak baik ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.
Hisyam Teh Pok Teik, berkata, tiada butiran terperinci mengenai bagaimana kesalahan itu dilakukan dinyatakan dalam pertuduhan.
Tanpa butiran tersebut, katanya, ia menjejaskan keupayaan Muhyiddin untuk menyediakan hujah pembelaan terhadap pertuduhan ke atasnya.
“Saya dengan penuh hormat menghujahkan pagi ini bahawa pertuduhan itu tidak sah di sisi undang-undang kerana tiada butiran mengenai bagaimana tertuduh ‘menggunakan kedudukannya’ seperti yang didakwa dalam pertuduhan.
“Di bawah undang-undang, cara sesuatu kesalahan yang didakwa dilakukan oleh tertuduh mesti diperincikan oleh pihak pendakwaan.
“Butiran tersebut mesti dinyatakan secara khusus dalam pertuduhan, termasuk langkah-langkah yang diambil oleh tertuduh berkaitan sebarang keputusan atau tindakan.
“Kami dibiarkan dalam keadaan tidak mengetahui apakah butiran atau aduan sebenar pihak pendakwaan terhadap tertuduh. Ini menjejaskan kami,” kata Hisyam.
Sebagai respons, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata perkara yang dibangkitkan oleh Hisyam sebelum ini telah pun dikemukakan ketika permohonan Muhyiddin untuk membatalkan pertuduhan.

“Mereka boleh membangkitkan perkara itu pada akhir kes pendakwaan, jika mahu berbuat demikian,” katanya.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin kemudian memutuskan supaya perbicaraan diteruskan seperti yang dijadualkan.
Wan Shaharuddin kemudian mengemukakan kenyataan pembukaannya dengan menyatakan bahawa jutaan ringgit mungkin tidak akan masuk ke akaun bank parti Bersatu jika Muhyiddin bukan perdana menteri ketika itu.
“Kita akui bahawa jutaan ringgit itu tidak masuk ke dalam poket tertuduh sendiri, tetapi dimasukkan ke dalam akaun partinya, Bersatu, di mana beliau merupakan presidennya dan juga perdana menteri (ketika kesalahan didakwa berlaku), yang mempunyai kepentingan tidak langsung dalam projek Jana Wibawa.
“Kami juga akan menunjukkan bahawa menteri kewangan ketika itu hanya bertindak berdasarkan minit yang dibuat oleh tertuduh.
“Menteri kewangan ketika itu (dan partinya, Umno) tidak memperoleh sebarang manfaat daripada tindakan tersebut,” kata pendakwa raya.
Menteri kewangan ketika kesalahan tersebut didakwa berlaku ialah Tengku Zafrul Abdul Aziz.
“Bukti tunjukkan bahawa Bersatu tidak akan menerima sumbangan berjuta-juta ringgit sekiranya tertuduh bukan perdana menteri pada waktu itu,” kata Wan Shaharuddin.

Timbalan ketua bahagian Perbicaraan dan Rayuan II yang baru dilantik di Jabatan Peguam Negara itu mengetuai pasukan pendakwaan dalam prosiding hari ini.
Mahkamah hari ini mula mendengar perbicaraan kes rasuah Muhyiddin yang melibatkan program Jana Wibawa, dengan pegawai SPRM, Mohd Syawaludin Said, tampil sebagai saksi pertama pendakwaan.
Ahli Parlimen Pagoh itu, yang akan berusia 79 tahun pada Mei ini, menjadi bekas perdana menteri kedua didakwa atas kesalahan jenayah selepas Najib Razak.
Dia didakwa dengan empat pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Pertuduhan itu berkait program Jana Wibawa yang diperkenalkan ketika dia menjadi perdana menteri antara 2020 hingga 2021 bagi mempercepat pelaksanaan projek serta merangsang ekonomi negara semasa pandemik Covid-19.
