Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Terdesak sangat dakwa JDT guna dana awam - TMJ
Diterbitkan:  Mar 9, 2026 10:53 AM
Dikemaskini: 2:56 AM

Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas pihak yang mendakwa sebahagia besar dana pasukannya diperoleh melalui dana awam.

"Terlalu terdesak. Kasihan,” titah baginda.

Tambah menamakan pihak itu secara khusus, pemangku Sultan Johor juga menyifatkan pihak itu tidak boleh bersaing tetapi “bersungguh-sungguh mencari alternatif lain untuk memburukkan” JDT. 

Baginda bertitah demikian ketika mengulas penafian Ketua Pegawai Eksekutif JDT Alistair Edwards berkaitan dakwaan 91 peratus pendapatan kelab bagi tahun 2024 berasal daripada sumber awam atau berkaitan kerajaan.

Terdahulu Edwards menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak tepat, tidak berasas dan salah  fakta.

Menurut Edwards, walaupun akaun kewangan JDT yang diaudit menyenaraikan Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor serta geran atau sumbangan kerajaan, ia hanya prosedur operasi standard (SOP) bagi penyaluran dana untuk pelbagai tujuan.

"Norma di Malaysia bagi semua penajaan sukan daripada syarikat swasta — sebahagian besar daripada 91 peratus yang didakwa dalam kes ini — disalurkan melalui Majlis Sukan (peringkat kebangsaan dan negeri) atas tujuan pelepasan cukai bagi syarikat terbabit.

"Oleh itu, semua penaja swasta JDT juga menyalurkan wang penajaan melalui Majlis Sukan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Edwards menjelaskan bahawa geran dan sumbangan kerajaan yang diterima khusus untuk pembangunan sukan di peringkat akar umbi, termasuk penganjuran kejohanan belia dan program di semua daerah di Johor.

Katanya, sebahagian besar dana tersebut diagihkan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) serta persatuan bolasepak daerah bagi tujuan berkenaan.

"JDT ingin menjelaskan bahawa tiada satu pun daripada geran ini digunakan untuk menjalankan operasi bola sepak di kelab, termasuk perbelanjaan pasukan utama, gaji pekerja, operasi Akademi JDT mahupun penyelenggaraan aset kelab," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS