mk-logo
Berita
Konflik Timur Tengah meruncing, harga minyak global melonjak
Diterbitkan:  Mar 9, 2026 9:18 PM
Dikemaskini: 1:18 PM

Pelantikan Mojtaba Khamenei sebagai pemimpin agung baharu Iran berlaku di tengah-tengah konflik yang tidak menentu antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS), dengan peningkatan serangan ketenteraan, serangan dron dan gangguan ekonomi dilaporkan di seluruh Timur Tengah dan wilayah lain.

Perhimpunan Pakar Iran menamakan Mojtaba, 56, sebagai pemimpin agung ketiga negara itu, menggantikan bapanya, Ayatollah Ali Khamenei, yang terkorban dalam serangan udara AS-Israel pada 28 Feb.

Anadolu Ajansi melaporkan bahawa pelantikan beliau telah mendapat sokongan daripada Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, yang berikrar setia dan menyatakan akan mengikut arahan pemimpin baharu itu.

Ketegangan ketenteraan di seluruh rantau terus meningkat.

Tentera Iran mengesahkan bahawa 104 anak kapal kapal perang Iran IRIS Dena terkorban dan 32 yang lain cedera dalam serangan torpedo AS pada 4 Mac di perairan Sri Lanka.

Agensi berita rasmi Iran IRNA melaporkan bahawa kapal itu dalam perjalanan pulang daripada latihan tentera laut di India, manakala Washington mengesahkan bahawa sebuah kapal selam Amerika melakukan serangan tersebut.

Sementara itu, Arab Saudi menyatakan sistem pertahanan udaranya memintas dan memusnahkan sebuah dron yang menyasarkan medan minyak Shaybah di tenggara negara itu, bersama dua lagi dron di utara ibu negara Riyadh.

Pihak berkuasa Arab Saudi juga melaporkan bahawa satu projektil terkena kemudahan kediaman di Wilayah Al-Kharj, mengorbankan dua penduduk dan mencederakan 12 yang lain.

AS telah mengarahkan kakitangan kedutaan yang tidak penting dan keluarga mereka untuk meninggalkan Arab Saudi sebagai langkah berjaga-jaga di tengah-tengah peningkatan risiko keselamatan serantau, lapor Anadolu Ajansi.

Di Bahrain, pihak berkuasa berkata serangan dron berhampiran ibu negara Manama mencederakan beberapa orang awam dan merosakkan rumah di kawasan Sitra.

Kementerian Kesihatan Bahrain kemudiannya mengesahkan bahawa 32 orang awam cedera, termasuk empat dalam keadaan serius, yang antaranya adalah kanak-kanak yang memerlukan pembedahan, lapor Agensi Berita Bahrain (BNA).

Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga melaporkan bahawa sistem pertahanan udaranya sedang bertindak balas terhadap ancaman peluru berpandu dan dron yang dilancarkan dari Iran, menurut Agensi Berita Emirates (WAM).

Di Lubnan, pihak berkuasa berkata sekurang-kurangnya 26 orang terkorban dan 33 yang lain cedera dalam serangan udara Israel di seluruh bahagian selatan dan timur negara itu.

Serangan itu berlaku di tengah-tengah perluasan permusuhan antara Israel dan Hizbullah, yang semakin meruncing seiring dengan konfrontasi serantau yang lebih luas berkaitan perang AS-Israel ke atas Iran.

Sementara itu, kerajaan Yaman memberi amaran kepada pihak Houthi supaya tidak melakukan tindakan ketenteraan yang boleh memenuhi agenda Iran dan terus menggugat kestabilan rantau itu, lapor Anadolu Ajansi.

Di tengah-tengah situasi keselamatan yang semakin merosot, Kementerian Luar Malaysia memaklumkan bahawa nasihat perjalanan yang merangkumi 10 negara Timur Tengah kekal berkuat kuasa.

Kementerian itu, yang dikenali sebagai Wisma Putra, menasihatkan rakyat Malaysia untuk menangguhkan perjalanan ke Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Lubnan, Oman dan Arab Saudi sehingga diberitahu kelak.

Kerajaan Malaysia kini berada dalam fasa akhir persiapan untuk melaksanakan proses evakuasi rakyat Malaysia dari beberapa negara yang terjejas akibat konflik di Timur Tengah berikutan perkembangan keselamatan yang semakin meruncing di rantau itu, menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Konflik tersebut turut mengganggu pasaran tenaga global dan aktiviti ekonomi.

Harga minyak mentah melonjak melebihi US$105 setong dan mencecah US$108 selepas pengumuman pemimpin agung baharu Iran, lapor Anadolu Ajansi memetik data Trading Economics.

Awal hari ini, minyak mentah Brent melonjak setinggi US$118 setong, tahap tertinggi dalam tempoh kira-kira empat tahun, menurut Sputnik/RIA Novosti.

Presiden AS Donald Trump berkata lonjakan harga itu hanya sementara dan meramalkan harga minyak akan turun sebaik sahaja apa yang disifatkannya sebagai "ancaman nuklear Iran" dineutralkan.

Konflik itu juga telah mengganggu pengeluaran minyak dan laluan pengangkutan di seluruh rantau.

Anadolu melaporkan, dengan memetik kenyataan pegawai, bahawa pengeluaran minyak Iraq telah menurun hampir 60 peratus kepada kira-kira 1.3 juta tong sehari selepas eksport terjejas akibat penutupan Selat Hormuz dan serangan ke atas infrastruktur tenaga.

Selain itu, syarikat tenaga milik kerajaan Bahrain, Bapco Energies telah mengisytiharkan "force majeure" ke atas operasi kumpulannya susulan serangan yang menjejaskan kompleks penapisannya, lapor BNA.

Kejutan tenaga itu turut memberi kesan kepada ekonomi yang jauh dari zon konflik.

Di New Zealand, syarikat penghantaran memberi amaran bahawa gangguan bekalan global boleh meningkatkan kos pengangkutan secara mendadak dan melambatkan penghantaran selama berminggu-minggu, lapor Xinhua.

Banyak syarikat perkapalan melencongkan kapal melalui selatan Afrika untuk mengelakkan Timur Tengah, sekali gus memanjangkan masa transit sehingga 40 hari.

Di Bangladesh, pihak berkuasa telah mengarahkan penutupan institusi pendidikan di seluruh negara untuk menjimatkan elektrik dan bahan api di tengah-tengah peningkatan kos tenaga dan tekanan bekalan yang dikaitkan dengan konflik tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS