Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tiga kereta Cikgu Chandra dibakar
Diterbitkan:  Mar 10, 2026 9:08 AM
Dikemaskini: 3:24 AM
3

Kereta pempengaruh media sosial S Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai  Cikgu Chandra dilaporkan dibakar dalam kejadian awal pagi tadi di Taman Kinrara, Puchong Selangor.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor, Mohamad Suffi Kamari serta penceramah Firdaus Wong di media sosial masing-masing.

Mereka berkata dimaklumkan sendiri oleh Chandrasegaran selepas kejadian yang melibatkan tiga buah kereta itu.

“Awal pagi tadi dalam (pukul) tiga lebih, mereka membakar ketiga-tiga buah kereta Cikgu Chandra! Mujur polis dan bomba sampai cepat untuk memadamkan api dan mengawal keadaan.

“Kita tidak boleh biarkan pelampau begini berleluasa! Ini negara hukum! Hukum penghasut dan pelampau dengan segera sebelum tindakan mereka membakar negara!” kata Firdaus.

Cikgu Chandra

Dia mendakwa serangan dilakukan oleh beberapa individu yang memakai topeng.

Sementara itu, Firdaus turut mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dipercayai dari rumah jiran Cikgu Chandra, yang didakwa merakam insiden itu.

Menurut rakaman itu, pada jam jam 3.45 petang semalam, dua buah kenderaan berhenti di hadapan kediamannya sebelum beberapa individu dilihat keluar meluru ke arah rumahnya. 

Kedengaran bunyi bising seperti gegaran dan hentakan di pintu pagarnya.

Rakaman CCTV pada jam 3.19 pagi tadi pula memperlihatkan seorang lelaki memakai topi keledar bergerak ke arah rumah Cikgu Chandra, sebelum api marak menyala.

Malaysiakini sedang cuma mendapatkan maklumat lanjut daripada Chandrasegaran dan pihak polis.

Pindah ke tempat selamat

Sementara Suffi pula berkata dia dan Firdaus sedang membantu memindahkan Cikgu Chandra dan keluarga ke tempat yang lebih selamat. 

“Kita sedang memerhati keadaan ini dan mohon paling penting agar semua pihak bertenang baik daripada sebelah sana dan sebelah kita.

“Apa yang penting sekarang ialah pihak polis wajib segera menangkap siapa penjenayah yang berani melakukan tindakan jahat ini!” katanya.

Petang semalam, Chandrasegaran memuat naik video mendakwa pagar rumah dan keretanya dirosakkan individu bertopeng menggunakan parang.

“Saya tak tahu apa nak cakap, tolong tularkan. Kalau boleh bantu atau bagi bantuan tolong bagi bantuan dekat cikgu,” katanya.

Chandrasegaran terkenal susulan pendirian kerasnya terhadap pembinaan kuil secara haram.

Bulan lalu, dia ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi kenyataan merendah-rendahkan komuniti India dalam isu berkaitan kuil.

Kenyataan itu disifatkan sebagai bersifat menghasut, menghina dan menyakitkan hati dengan niat mengganggu ketenteraman awam serta berpotensi mendorong tindakan di luar kawalan undang-undang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
3
ADS