GLOBAL | Pemandu di seluruh Filipina semalam menyerbu stesen minyak untuk mengisi bahan bakar itu menjelang kenaikan harga besar-besaran yang dijadualkan pada hari ini, lapor Xinhua.
Lonjakan permintaan itu menyusuli amaran mengenai peningkatan ketara kos bahan api yang disifatkan oleh pegawai tenaga tempatan sebagai lonjakan tunggal terbesar dalam tempoh kebelakangan ini.
Saluran berita tempatan melaporkan ketidaktentuan domestik sebahagian besarnya didorong oleh faktor luaran, memandangkan ketegangan yang memuncak di Timur Tengah terus mencetuskan kebimbangan terhadap krisis tenaga global.
Di Metro Manila, kebimbangan tersebut dizahirkan melalui barisan panjang yang memenatkan di beberapa buah stesen ketika pemandu berpusu-pusu untuk mengisi minyak sebelum pelaksanaan harga baru.
Media tempatan melaporkan, keadaan lebih meruncing di bandar utara Dagupan dan bandar tengah Iloilo apabila beberapa stesen terpaksa ditutup seketika selepas kehabisan stok akibat pembelian panik yang melampau.
Harga minyak dijangka meningkat kira-kira 17 hingga 24 peso (kira-kira AS$0.29 hingga AS$0.40) seliter minggu ini, menurut Setiausaha Tenaga Sharon Garin pada Isnin.
Katanya, syarikat minyak akan membahagikan kenaikan tersebut dalam tempoh beberapa hari, atau melaksanakan kenaikan secara berperingkat berbanding mengenakan satu kenaikan harga yang besar sekali gus.
- Bernama/Xinhua
