Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Mohammad Faiz Azmi enggan mengulas soalan wartawan mengenai kesediaan mereka menyiasat dakwaan berkaitan kewujudan “mafia korporat” dalam dunia perniagaan.
Ditanya wartawan berkaitan perkara itu, dia menegaskan terdapat undang-undang melarang mereka daripada mendedahkan sesuatu maklumat, lapor The Edge.
“Kamu tahu tentang Seksyen 148 (Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993)? Seksyen 148 kata kamu akan dipenjara jika bincang sebarang siasatan yang masih berjalan.
“Jadi, kamu betul-betul nak saya masuk penjara?” dia dipetik sebagai berkata kepada pemberita ketika ditemui dalam satu acara di Kuala Lumpur semalam.
Seksyen 148 Akta SC tidak membenarkan maklumat yang diperoleh semasa tugas rasmi didedahkan. Undang-undang itu juga tidak membenarkan maklumat sedemikian diterbitkan.
Malaysiakini menghubungi peguam untuk mengetahui sama ada seksyen ini juga menghalang pendedahan mengenai siasatan.
Seksyen 152A Akta yang sama membenarkan suruhanjaya itu menerbitkan maklumat mengenai tindakan yang sedang diambilnya.
Sebelum ini, SC menyatakan secara terbuka melalui kenyataan media apabila ia menjalankan siasatan.
Sebagai contoh, pada Januari 2022 suruhanjaya itu berkata mereka akan bercakap dengan ketua SPRM Azam Baki selepas dia mendakwa abangnya menggunakan akaun dagangannya untuk membeli saham.
Kemudian, SC berkata tidak menemui bukti perdagangan proksi dan Azam mengawal akaunnya sendiri.
Dakwaan “mafia korporat” itu mencetuskan perhatian awam selepas dilaporkan media kewangan antarabangsa Bloomberg, yang turut memetik dakwaan komplot dengan pegawai kanak SPRM dalam rangka mengambil alih kepentingan sesuatu syarikat.
Mereka didakwa menggunakan modus operandi menekan pemegang saham bagi memperoleh kepentingan mereka dengan harga murah.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh SPRM.
Timbul gesaan, termasuk daripada dalam kerajaan sendiri, supaya suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan itu.
