Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menegaskan bahawa pihaknya yang akan menentukan bila perang dengan Amerika Syarikat (AS) berakhir’ Ia sekali gus menolak kenyataan Presiden AS Donald Trump semalam bahawa perang akan "tamat tidak lama lagi."
"Kamilah yang akan menentukan pengakhiran perang ini," kata IRGC dalam satu kenyataan yang dipetik oleh stesen televisyen AlJazeera.
"Persamaan dan status masa depan wilayah ini kini berada di tangan angkatan tentera kami; tentera Amerika tidak akan menamatkan perang ini," tambah kenyataan itu lagi.

IRGC turut memberi amaran bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk melumpuhkan laluan perdagangan tenaga global jika serangan ke atas kedaulatan negara itu diteruskan.
"Tehran tidak akan membenarkan walau seliter minyak pun dieksport keluar dari rantau Teluk sekiranya serangan AS-Israel berterusan," kata mereka.
Ancaman itu merujuk kepada kedudukan strategik Iran yang menguasai Selat Hormuz — laluan kritikal yang mengendalikan hampir satu perlima daripada bekalan minyak mentah dunia.
Sebarang gangguan di laluan ini dipercayai akan mencetuskan kejutan ekonomi dan lonjakan harga bahan api global secara drastik.
Evolusi serangan: Kepala peledak satu tan
Dalam perkembangan yang lebih membimbangkan, agensi berita melaporkan Komander Pasukan Aeroangkasa IRGC, Brigedier Jeneral Majid Mousavi, mengumumkan perubahan doktrin serangan peluru berpandu Iran.
Menurutnya, era penggunaan senjata ringan sudah berakhir.

Antara intipati pengumuman Mousavi termasuklah:
Peningkatan frekuensi: Iran akan melancarkan peluru berpandu dengan kekerapan yang lebih tinggi.
Kuasa pemusnah: Semua peluru berpandu akan dilengkapi kepala peledak seberat minimum satu tan.
Radius serangan: Jangkauan serangan akan diperluas merentasi sasaran strategik baharu.
Laporan daripada Iran International sebelum ini mendedahkan bahawa peluru berpandu Iran dengan peledak seberat beberapa ratus kilogram sudah cukup untuk meruntuhkan bangunan di Tel Aviv.
Penggunaan peledak seberat satu tan menandakan peningkatan keupayaan pemusnah yang jauh lebih dahsyat.
Pertembungan naratif Tehran-Washington
Di Florida, Trump sebelum ini mendakwa Iran kini berada di ambang kelumpuhan ketenteraan dan hampir kehilangan semua keupayaan tempurnya. Bagaimanapun, IRGC menolak naratif tersebut sebagai propaganda semata-mata.
Pihak IRGC menegaskan bahawa mereka masih mempunyai keupayaan penuh untuk memperluas skala peperangan dan tidak akan sekali-kali tunduk kepada tuntutan "penyerahan tanpa syarat" yang didesak oleh pentadbiran Trump.

Kenyataan ini juga dilihat sebagai manifestasi sokongan padu IRGC terhadap Pemimpin Agung baharu, Ayatollah Mojtaba Khamenei, ketika demonstrasi kesetiaan terus diadakan di seluruh negara.
Situasi di Teluk kini dilaporkan semakin tegang dengan kapal-kapal tangki minyak mula membatalkan laluan atau menangguhkan pelayaran, mencerminkan kebimbangan komuniti antarabangsa terhadap kemungkinan sekatan maritim oleh Iran.
