Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Serang Iran 20 kali ganda - Amaran Trump cetus pasaran minyak menjunam
Diterbitkan:  Mar 10, 2026 11:53 AM
Dikemaskini: 4:48 AM

Harga minyak dunia menjunam 10 peratus pada Selasa selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran bahawa Tehran bakal dihantam "20 kali ganda lebih kuat" jika ia cuba menyekat aliran minyak melalui Selat Hormuz.

Pada masa yang sama, dia memberi isyarat bahawa konflik dengan Iran mungkin akan berakhir tidak lama lagi.

Dalam kenyataan di Truth Social, Trump menulis: "Jika Iran melakukan apa-apa yang menghentikan aliran minyak di Selat Hormuz, mereka akan diserang AS 20 kali ganda daripada apa yang mereka terima setakat ini."

Kematian, api dan kemurkaan

Dia turut menambah bahawa AS akan memusnahkan sasaran "yang mudah dimusnahkan", sehingga menjadikan Iran "hampir mustahil untuk dibina semula sebagai sebuah negara."

Trump menamatkan kenyataannya dengan amaran bahawa "Kematian, api dan kemurkaan akan menimpa mereka - tetapi saya harap dan doa agar ini tidak berlaku."

Dalam perkembangan berkaitan, CNBC melaporkan minyak mentah antarabangsa Brent susut hampir 11 peratus kepada AS$88.36 setong pada malam Isnin.

Manakala minyak mentah AS pula jatuh lebih 10 peratus kepada AS$85.17 setong.

Penurunan ini berlaku selepas harga minyak melonjak melepasi paras AS$100 pada Isnin.

Hadiah AS kepada China

Selat Hormuz yang terletak antara Oman dan Iran serta merupakan laluan transit penting bagi pasaran tenaga global. Menurut data Kpler, kira-kira 13 juta tong minyak melalui laluan perairan itu pada tahun 2025, iaitu merangkumi kira-kira 31 peratus daripada aliran minyak melalui laut di peringkat global.

Laluan itu menghubungkan pengeluar utama Teluk termasuk Arab Saudi, Iran, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Teluk Oman dan Laut Arab.

"Ini adalah hadiah daripada Amerika Syarikat kepada China, dan semua negara lain yang banyak menggunakan Selat Hormuz. Diharapkan, isyarat ini akan amat dihargai," kata Trump dalam hantaran tersebut.

Kenyataan itu menyusul selepas jurucakap Kementerian Luar Iran memberi amaran pada Isnin bahawa kapal tangki minyak yang melalui Selat Hormuz "mestilah sangat berhati-hati."

Laporan CBS News pula menyebut bahawa Trump juga mempertimbangkan langkah menguasai laluan air terbabit bagi memastikan aliran tenaga global kekal terjamin.

Kenyataan Trump turut meningkatkan kebimbangan pasaran minyak, yang mengalami turun naik ketara sejak bermulanya konflik.

Para penganalisis memberi amaran bahawa sebarang percubaan Iran menutup atau mengganggu laluan itu boleh mencetuskan krisis tenaga global.

Setakat semalam, tiada tanda-tanda Iran bercadang menyekat sepenuhnya laluan terbabit, namun IRGC sebelum ini menegaskan bahawa mereka "berkuasa penuh" ke atas Selat Hormuz dan mampu menghalang eksport minyak jika diserang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS