Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TMJ dakwa ada sabotaj dalam FAM
Diterbitkan:  Mar 10, 2026 12:12 PM
Dikemaskini: 5:36 AM

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mendakwa wujudnya gerakan terancang oleh segelintir pihak di dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang cuba mensabotaj imej baginda ekoran rasa tidak puas hati yang berakar umbi sejak sekian lama.

Baginda memberikan pencerahan bahawa pihak-pihak ini mula mengatur langkah secara sulit dengan mengadakan pertemuan bersama kumpulan penyokong, pengamal media, serta pempengaruh media sosial untuk melancarkan kempen sabotaj melalui pelbagai naratif negatif.

"Rasa kecewa pihak-pihak ini semakin memuncak apabila kerajaan menyalurkan dana terus kepada pasukan kebangsaan (Harimau Malaya), yang mana peruntukan tersebut tidak memberi manfaat kepada kepentingan peribadi mereka yang tidak terlibat.

"Ada beberapa yang datang minta saya tolong nak dapatkan projek, ada juga yang datang minta tolong tak disiasat SPRM dan macam-macam.

"Tetapi ramai yang kecewa apabila kerajaan membantu beri dana kepada pasukan kebangsaan. Ramai tak puas hati kerana ada yang tak terlibat.

"Orang dalam patut bertanggungjawab. Bukan lepas tangan dan gunakan penyokong dan media untuk jadikan saya kambing hitam," titah baginda dalam satu hantaran di akaun X miliknya pagi ini.

Sepuluh tahun lalu, Tunku Mahkota Ismail menggemparkan dunia sukan dengan menyerahkan pemacu kilat kepada SPRM bagi membuktikan amalan rasuah berpanjangan dalam FAM seawal 30 tahun lalu.

Tiga hari selepas itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, ketika itu pengarah siasatan, berkata sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, SPRM akan menghantar laporan siasatan tersebut kepada FAM bagi proses penambahbaikan dan tindakan, khususnya mengenai isu-isu teknikal yang dibangkitkan.

Kegagalan serah dokumen sahih

Mengulas lanjut, baginda turut menyentuh mengenai isu yang hangat diperkatakan di peringkat Fifa.

Jelas TMJ, polemik tersebut sebenarnya berpunca daripada isu pemalsuan dokumen dan kegagalan penyerahan dokumen yang sahih, bukannya berkaitan status kelayakan kerakyatan pemain.

"Mengapa dokumen yang sah daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak dikemukakan, sebaliknya dokumen lain yang bermasalah dihantar sehingga mencetuskan tindakan daripada badan induk bola sepak dunia itu.

"Siapa yang buat permohona? Ejen dan siapa dalam FAM? Mengapa tak hantar dokumen yang sah dari JPN? Kerana nak selamatkan orang dalam, pemain dipersalahkan," tegas baginda.

Sebelum ini, baginda mencabar pihak yang menuduh dirinya terlibat dalam pemalsuan dokumen pemain bola sepak warisan agar membawa perkara itu ke mahkamah.

Cabaran tersebut dibuat susulan kritikan yang timbul selepas keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berkaitan kes tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang sebelum ini dikenakan sekatan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Menurut Fifa, JPN memaklumkan badan sukan itu bahawa pihaknya tidak pernah menerima sijil kelahiran asal tujuh pemain warisan terbabit, sebaliknya mengeluarkan sijil kelahiran baru berdasarkan maklumat kedua dan dokumen asing dari Argentina, Brazil serta Sepanyol.

Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias turut dilaporkan menyatakan bahawa jabatan itu menjalankan pengesahan silang bagi mengesahkan salasilah pemain melalui datuk dan nenek mereka.

Bagaimanapun, siasatan Fifa sendiri menemui sijil kelahiran asal datuk dan nenek pemain yang menyatakan bahawa mereka tidak dilahirkan di Malaysia.

Fifa juga mendapati dokumen yang dikemukakan FAM dipalsukan dengan tempat lahir datuk dan nenek ditukar kepada lokasi di Malaysia.

Tuntut TMJ bertanggungjawab

Respons itu hadir selepas seorang pengguna media sosial menuntut agar TMJ bertanggungjawab berhubung keputusan CAS yang mengekalkan sebahagian sekatan Fifa terhadap FAM dan tujuh pemain warisan.

Kes tersebut berkait dakwaan penggunaan dokumen palsu bagi membolehkan pemain terbabit mewakili skuad kebangsaan Harimau Malaya.

Pengguna berkenaan turut memetik hantaran di akaun X baginda bertarikh 11 Januari 2025 yang masih boleh diakses apabila baginda merayu kepada kerajaan Malaysia agar membantu mendapatkan pasport bagi pemain kelahiran luar negara supaya mereka dapat mewakili negara dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027.

Sementara itu, baginda turut membandingkan ketidakkonsistenan hukuman dalam kes CAS sebelum ini, sambil menekankan bahawa tiada bukti kukuh yang menunjukkan pemain terlibat dalam konspirasi pemalsuan tersebut.

"Semasa pembelaan CAS pihak Fifa pun tak boleh jawab apabila ditanya mana bukti pemain terlibat atau bersubahat.

"Dan kenapa kes ini dilayan lain daripada kes CAS sebelum ini apabila pemain wanita mengaku bersalah membuat pemalsuan dan hanya dihukum 10 perlawanan untuk Harimau Malaya tetapi masih boleh bermain bersama kelab?" soalnya.

Penggantungan terpakai untuk perlawanan rasmi

Dalam keputusan mahkamah minggu lepas, CAS membenarkan rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya terhadap Fifa berhubung hukuman yang dikenakan kerana memalsukan dokumen berkaitan naturalisasi dan kelayakan.

Panel CAS memutuskan tujuh pemain tersebut tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan. Namun, hukuman itu hanya terpakai untuk perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti bola sepak.

"Setelah meneliti bukti yang dikemukakan, panel CAS mendapati kesalahan memalsukan dokumen kelayakan telah terbukti dan penggantungan selama 12 bulan daripada perlawanan adalah hukuman yang wajar dan sepadan bagi para pemain memandangkan mereka terlibat secara bersama dalam penipuan ini," menurut kenyataan itu.

Tujuh pemain tersebut ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Bagaimanapun, selaras dengan Artikel 22 Kod Disiplin Fifa (FDC), panel CAS memutuskan penggantungan itu hanya terpakai untuk perlawanan serta semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen beberapa bekas pemimpin FAM berkaitan dakwaan Tunku Mahkota Ismail ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS