Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aksi 'aktivis tanah' pijak simbol Hindu undang kemarahan

Lelaki yang mendakwa sebagai aktivis tanah, Tamim Dahri Abdul Razak, sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas muncul klip video yang didakwa menunjukkan dirinya menghina simbol suci Hindu

Ia memaparkan sesesorang yang memijak trisula (tombak bercabang tiga) yang dikenali sebagai soolam di kawasan terbuka yang tidak dikenal pasti.

Kemunculan klip video berkenaan mengundang kemarahan kalangan penganut Hindu dengan beberapa laporan polis dibuat sejak beberapa hari lalu.

Satu protes juga diadakan di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul malam tadi dan pengasas Pertubuhan Perpaduan Puratchi Malaysia, K Umagandhan, mendakwa dihadiri oleh kira-kira 200 orang dari seluruh negara.

Insiden itu menyusul selepas tular imej seorang pelajar universiti, S Vikneswaran, 21, memijak al-Quran lebih seminggu lalu. Dia sudah didakwa di mahkamah atas pertuduhan mencemar al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik melampau.

Dalam kenyataan semalam, Adun Sentosa, Gunaraj George, berkata demi keadilan tindakan undang-undang yang sama perlu dikenakan ke atas pihak yang menghina simbol suci agama lain.

Menyatakan bahawa dia sudah memfailkan laporan polis terkait insiden trisula yang itu, Gunaraj turut menyeru orang ramai agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan sebarang bentuk provokasi.

Kuat kuasa secara adil, saksama

Pengerusi Pasukan Bertindak Pemeliharaan Kuil, Arun Dorasamy, turut mengecam perkongsian video itu dan menganggapnya sebagai "kes provokasi klasik" dengan menegaskan ia harus dianggap "bersamaan" dengan kes yang melibatkan penghinaan al-Quran.

"Kedua-duanya (trisula dan al-Quran) adalah simbol keagamaan. Apabila undang-undang berfungsi untuk al-Quran, ia juga harus berfungsi untuk soolam.

“Apakah yang diharapkan oleh pihak polis dan kerajaan daripada penganut Hindu? Hanya menjadi mangsa?

“Kita berada di ambang sesuatu yang buruk, dan jika keadaan tidak dineutralkan melalui undang-undang, keadaan hanya akan menjadi lebih buruk,” katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu Hindhudharma Maamandram Malaysia berkongsi kandungan surat yang ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail di Facebook.

Dalam surat tersebut NGO Hindu itu mempersoalkan jika penghinaan terhadap simbol suci boleh dianggap sesuatu yang boleh diterima atau dipandang ringan.

“Prinsip kedaulatan undang-undang menuntut penguatkuasaan undang-undang dijalankan secara adil dan saksama tanpa mengira agama, bangsa, atau latar belakang individu.

“Kecenderungan berat sebelah atau kegagalan untuk mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan yang menghina agama boleh mewujudkan persepsi bahawa sensitiviti agama tertentu tidak diberikan perlindungan yang sewajarnya,” tulis presidennya, Rishi Kumar Vadivelu, dalam surat bertarikh 9 Mac.

Dia juga menggesa Kementerian Dalam Negeri, polis, dan agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam insiden tersebut.

Saifuddin Nasution Ismail

Dalam perkembangan sama Arun memberitahu Malaysiakini kandungan hantaran Facebooknya telah disekat di negara ini, dengan platform tersebut memaklumkan kepadanya bahawa tindakan itu adalah disebabkan oleh “permintaan undang-undang” daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Dia juga mendakwa semua videonya di TikTok telah dialih keluar dari laman media sosial.

Salah satu halaman Facebook Tamim juga nampaknya disekat oleh SKMM semalam, dengan pengguna tempatan tidak dapat mengakses catatannya.

Dalam hantaran melalui akaun Facebook berasingan, Tamim mengesahkan dia tidak lagi dapat mengakses halaman tersebut.

Pada masa sama SKMM belum memberi respons kepada permintaan media untuk komen mengenai tindakan tersebut.

Tamim yang berada di barisan hadapan dalam kempen menentang kuil-kuil haram sebelum ini menimbulkan kontroversi selepas dia mula merobohkan kuil Hindu Sri Utchimalai yang dibina di atas tanah milik Yayasan Kubra di Rawang Perdana.

Yayasan Kubra pula memberitahu mereka meminta bantuan Tamim untuk membersihkan struktur haram itu bagi memberi laluan kepada pembinaan projek perumahan untuk golongan miskin di plot tersebut.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS