Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, menyeru semua pihak agar menghentikan sebarang bentuk keganasan dan provokasi berasaskan agama serta kaum yang semakin meresahkan masyarakat.
Menurut Steven, pihak polis perlu bertindak segera dan tegas terhadap semua pelaku tanpa mengira identiti mereka, serta mengenakan tindakan undang-undang yang paling keras.
"PDRM harus bertindak segera dan tegas terhadap semua pelaku tak kira siapa, dan mereka harus dikenakan tindakan undang-undang yang paling keras sekali, tak kira yang pijak al-Quran, yang pijak simbol agama Hindu, yang buat provokasi roboh kuil, yang buat vandalisme, yang bakar kenderaan.
"Rakyat Malaysia harus bersatu dalam isu ini - say no to ejen provokasi, say no to ekstremisme!"ujarnya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, media hari ini melaporkan tiga buah kereta milik pempengaruh media sosial S Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra dibakar dalam kejadian awal pagi tadi di Taman Kinrara, Puchong Selangor.
Petang semalam, Chandrasegaran memuat naik video menunjukkan pagar rumah dan keretanya dirosakkan individu bertopeng menggunakan parang.
Chandrasegaran terkenal susulan pendirian kerasnya terhadap pembinaan kuil yang didakwa tidak sah.

Dalam masa sama, tukar video klip menunjukkan seorang individu yang mendakwa sebagai aktivis tanah, Tamim Dahri Abdul Razak, memijak trisula (tombak bercabang tiga) yang dikenali sebagai soolam di kawasan terbuka yang tidak dikenal pasti.
Kemunculan klip video berkenaan mengundang kemarahan dalam kalangan penganut Hindu dengan beberapa laporan polis dibuat sejak beberapa hari lalu.
Satu protes juga diadakan di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul malam tadi dengan kehadiran kira-kira 200 orang.
Insiden itu menyusul selepas tular gambar seorang pelajar universiti, S Vikneswaran, 21, memijak al-Quran lebih seminggu lalu.
Pelajar berkenaan sudah didakwa di mahkamah atas pertuduhan mencemar al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik melampau.

Mengulas lanjut, Steven yang juga ahli parlimen Bukit Mertajam menyeru semua pihak menurunkan suhu perkauman dengan berhenti menyebar dan berkongsi kebencian.
"Musuh kita bukan sesama sendiri, tak kira kaum dan agama. Ketika dunia sedang bergolak, Rakyat Malaysia harus bersatu untuk hebatkan perniagaan Malaysia, bangunkan ekonomi negara demi kesejahteraan semua, tak kira kaum dan agama.
"Semua pihak bertanggungjawab untuk menurunkan suhu perkauman dalam masyarakat majmuk kita. Berhenti sebar dan kongsi kebencian. Berhenti tambah api perpecahan,"tegasnya.
Dia turut memaklumkan akan membangkitkan isu berkenaan dalam mesyuarat Kabinet esok bagi memastikan langkah tegas diambil terhadap semua tindakan provokasi.
