Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menggesa SPRM menjelaskan pendiriannya berhubung penggunaan video yang telah disunting sebagai bahan bukti dalam siasatan.
Gesaan itu dibuat susulan usaha agensi antirasuah berkenaan mengemukakan video TikTok yang telah disunting sebagai bukti dalam perbicaraan kes rasuah terhadap bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.
Ia sekali gus dilihat bercanggah dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, tahun lalu bahawa video yang telah disunting tidak boleh digunakan sebagai bukti.
Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, Pushpan Murugiah, berkata walaupun video TikTok itu sendiri tidak wajar dikritik, ia menunjukkan wujudnya dwistandard di pihak SPRM.
“Dalam mana-mana kes mahkamah, kesahihan sesuatu bukti lazimnya perlu dibuktikan. Walaupun video telah disunting, ia masih berpotensi mempunyai nilai pembuktian yang boleh dipertimbangkan mahkamah sekiranya video itu dianggap relevan dan boleh diterima.
“Oleh itu, percubaan untuk mengemukakan video TikTok yang telah disunting dalam kes ini tidak sepatutnya dikritik.
“Bagaimanapun, ia menimbulkan keraguan besar terhadap pendirian terdahulu Azam Baki mengenai video skandal Sabah yang dianggap tidak boleh digunakan dan tidak boleh dipercayai kerana telah disunting.
“Berdasarkan percanggahan ini, C4 Center berpandangan bahawa SPRM perlu membuat kenyataan awam bagi menjelaskan pendirian mereka berhubung penggunaan video yang telah disunting sebagai bahan bukti dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Pushpan menambah, dwistandard seperti itu akan menjejaskan kredibiliti SPRM dan berisiko menghakis lagi kepercayaan orang ramai terhadap agensi berkenaan.
Malaysiakini telah menghubungi SPRM untuk mendapatkan maklum balas.
Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan Liga Rakyat Demokratik turut mengkritik SPRM dan kerajaan Persekutuan berhubung “ketidakselarasan” suruhanjaya berkenaan.
Presidennya, Hamdin Nordin, berkata cubaan SPRM mengemukakan video yang telah disunting sebagai bukti di mahkamah menunjukkan satu pola yang menguatkan lagi keraguan mereka terhadap komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah.
"Kerajaan hari ini kononnya mahu melawan rasuah, tetapi apa yang kita lihat mereka ini sebenarnya mesra kepada kelompok yang terpalit dengan isu rasuah untuk mengekalkan kekuasaan.
"Kita lihat logik di Sabah, hanya dua sahaja Adun Sabah yang didakwa, selebihnya tidak mendapat tidakan apa-apa. Bahkan yang lebih merisaukan adalah Anwar Ibrahim berkerjasama dalam PRN bersama pasukan GRS yang terpalit dengan skandal rasuah besar di Sabah,” katanya.
Hamdin bagaimanapun berkata mereka tidak terkejut dengan perkembangan tersebut.

Menurut aktivis itu, sebab itulah kumpulan berkenaan sebelum ini menentang Azam dan tidak mahu melihat SPRM digunakan sebagai alat politik.
Hamdin turut menggesa Azam meletakkan jawatan dan mendesak kerajaan meletakkan SPRM di bawah bidang kuasa Parlimen.
Ketika perbicaraan rasuah terhadap Muhyiddin yang bermula semalam, pasukan pembelaannya menyoal balas seorang pegawai SPRM selepas dia memberi keterangan bahawa diarahkan memuat turun dua video daripada TikTok sebagai bahan bukti.
Dua video tersebut kemudian dimainkan di mahkamah.
Peguam Muhyiddin, Amer Hamzah Arshad, kemudian menyoal saksi pendakwaan sama ada dia sedar bahawa Azam sebelum ini menyatakan video yang telah disunting tidak boleh digunakan sebagai bukti.
